Menyingkap Kematangan Usia di Angka 40

Kuala Lumpur, 22 Oktober – Benarkah usia 40 adalah permulaan hidup baru bagi seseorang seperti tanggapan masyarakat Barat? Apakah persediaan untuk menghadapi usia 40?

” Usia 40 adalah tanda aras usia insan yang insaf, syukur, memperbanyakkan ibadah dan bertaubat kepada Allah.”

Demikian antara sedikit kupasan yang diberikan oleh Ustazah Siti Khumairo Shamsudin ketika Usrah Wanita anjuran Wanita ISMA Gombak bertempat di Surau Al-Amin, Taman Setapak Indah baru-baru ini.

Ia selari dengan apa yang dibincangkan dalam Surah Al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud:

“dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)”

Allah mengingatkan insan tentang sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa. Setelah dia dilahirkan dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup sehingga ke usia matang. Insan apabila tiba di usia empat puluh, maka itu adalah tarikh yang wajib untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama ini. Usia 40 tahun adalah usia yang menganjakkan kita untuk bersungguh dalam hidup.

Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian.

“Perjalanan hidup ini adalah satu perjalanan hijrah kita menuju Allah. Jalan menuju Allah memerlukan kesabaran dan mujahadah jiwa dalam memerangi kebatilan. Menyingkap semula sirah para nabi, bagaimana mereka menjalani kehidupan yang penuh dengan kesukaran dalam menegakkan Islam. Sedangkan kebanyakan dari kita hidup membuang masa dan bermain-main.” Ujarnya sebagai penutup bicara.

 

Dr Farah Ghazali

Wartawan Wanita Isma Gombak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *