Mesir & Malaysia: Dua Budaya, Ramadan yang Sama

أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak ada seseorang pun masuk melalui pintu ini kecuali mereka (iaitu orang yang berpuasa). Dikatakan: “Mana orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka berdiri. Tidak ada seorangpun yang masuk melewati pintu ini selain mereka. Apabila mereka telah masuk maka pintu ini ditutup dan tidak ada seseorang pun yang masuk lagi melaluinya.”

[Riwayat Bukhari]

Ramadhan adalah bulan kebaikan dan bulan barakah. Puasa Ramadhan merupakan penyebab terampunnya dosa-dosa dan terhapusnya kesalahan-kesalahan yang lalu.

“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”

[Riwayat Bukhari]

Diam tak diam separuh Ramadhan telah pun berlalu. Ada yang sudah membuat persiapan raya. Lagu-lagu raya juga sudah mula diperdengarkan di radio-radio dan kedai-kedai pakaian. Bila melihat suasana ini, hati rasa sayu mengenangkan suasana Ramadhan di bumi Mesir.

Jika kita berbicara tentang perbezaan Ramadhan di Mesir dan Malaysia, sudah tentu aspek suasana dan budaya adalah yang paling ketara. Kemeriahan masyarakat Arab Mesir menyambut Ramadhan adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Belum pun masuk bulan Ramadhan, pelita dan lampu berwarna-warni telah pun dinyalakan menghiasi rumah-rumah dan jalanan.

Pengalaman berpuasa pada musim panas adalah sesuatu yang menuntut kesabaran dan mujahadah. Waktu siang yang panjang memberi peluang melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada golongan fakir miskin. Waktu malam yang pendek pula mengenepikan rasa ingin tidur kerana baki-baki masa perlu diisi dengan amal ibadah yang ganjarannya berlipat kali ganda.

Apa yang lebih mencabar lagi, apabila bulan Ramadhan jatuh pada musim peperiksaan. Memang semangat perang Badar begitu terasa sekali walaupun hanya bersenjatakan buku dan pena.

Sungguh, Ramadhan di Mesir cukup berbeza dari sudut suasananya. Tetapi Ramadhan di sana, tetap Ramadhan yang sama mengunjungi kita di sini.

Al-Quran yang hidup

Dalam kenderaan awam di Mesir, pemandangan membaca al-Quran atau mengulang hafazan adalah suasana biasa. Siaran radio yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran juga adalah sesuatu yang biasa. Sembang-sembang orang arab juga tidak sah tanpa petikan ayat al-Quran.

Itulah keistimewaan di Mesir. Jika bukan di bulan Ramadhan pun Al-Quran itu begitu hidup, apatah lagi di bulan Ramadhan.

Di Malaysia, budaya membaca al-Quran di mana-mana masih lagi menjadi budaya yang janggal tetapi usaha memupuk budaya al-Quran juga sudah semakin giat.

Di bulan Ramadhan, majlis-majlis tadarus dan khatam al-Quran sememangnya sudah menjadi kewajipan di kebanyakan tempat. Alangkah baiknya jika budaya itu dapat diteruskan bukan sekadar di bulan Ramadhan.

Sederhana itu bahagia

Ketiadaan bazar Ramadhan di Mesir adalah satu kelebihan. Berbuka sahajalah dengna apa yang ada, kerana fokus Ramadhan adalah untuk beribadah sebanyak-banyaknya.

Mungkin juga faktor rakyat Mesir yang kebanyakannya hidup susah dan juga budaya makannya yang ringkas menampakkan lagi nilai bersederhana dalam diri masyarakat di sana.

Di Malaysia pula lain cabarannya untuk bersederhana. Mana tidaknya, ‘Roti John Cheese’, ‘Kambing Bakar Menangis’, dan ayam percik selalunya muncul lebih kerap hanya di bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun ganjaran yang besar untuk mereka yang bermujahadah menahan selera yang melampau dan berusaha untuk sentiasa bersederhana. Ingat semula tujuan kita menyambut Ramadhan, untuk merasai kesusahan orang yang tidak ada apa-apa.

Rumah Kedua

Di Mesir, melaksanakan solat tarawih adalah yang paling ditunggu-tunggu. Masjid dipenuhi oleh para jemaah dari awal Ramdhan dan bertambah ramai pada 10 malam terakhir. Lambakan masjid juga adalah sesuatu yang ketara.

Tidak cukup sekadar itu, diluar masjid juga dihampar tikar-tikar untuk menampung bilangan Jemaah yang ramai. Pendek kata, tidak ada alasan tidak menunaikan solat terawih di masjid melainkan malas!

Bacaan imam agak panjang di setiap rakaat solat, tetapi penghayatan dalam bacaannya mampu membuatkan air mata mengalir. Semestinya suatu kelebihan bagi masyarakat arab kerana mereka lebih mudah memahami ayat-ayat al-Quran kerana Bahasa arab adalah Bahasa pertuturan mereka.

Ditambah pula dengan bacaan doa qunut dalam rakaat akhir solat sunat witir. Syahdu sekali! Bagi mereka, masjid adalah rumah kedua kerana selepas itu mereka akan beriktikaf dan berqiamulail bersama-sama.

Di Malaysia juga tetap ada kelebihannya. Kebanyakan masjid di Malaysia sangat selesa dan kondusif untuk melaksanakan ibadah-ibadah termasuklah solat terawih. Kipas ada, penghawa dingin pun ada. Jadi, apa lagi alasan kita untuk tidak menghidupkan masjid?

Keberkatan Memberi

Seperti mana Ramadhan tidak lokek menaburkan ganajaran kepada kita, begitu jugalah kita perlu bermurah hati berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan.

Di Malaysia atau Mesir, masyarakat di kedua-dua negara ini tidak sekali-kali melepaskan peluang untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Sedekah yang diberikan boleh jadi dalam bentuk wang ringgit atau makanan.

Boleh kata, bulan Ramadhan adalah bulan perayaan bagi golongan miskin yang memerlukan.

Jika di Mesir, sebelum Ramadhan lagi sudah disiapkan beg plastik berisi barang-barang dapur untuk diedarkan. Di masjid-masjid atau di kawasan-kawasan tertentu juga ada disediakan juadah berbuka yang dipanggil ‘Maidah Ar-Rahman’. Di tepi-tepi jalan pula biasanya akan ada orang arab yang mengedarkan kurma dan air untuk orang yang lalu lalang.

Di Malaysia, bulan Ramadhan adalah bulan yang terbaik untuk menyantuni anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan. Ada juga yang mengambil keberkatan Ramadhan untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Edaran bubur lambuk percuma dan peluang berbuka puasa beramai-ramai di masjid jarang memang sukar dilepaskan!

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a, daripada Nabi SAW sabdanya, ‘sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu’

(Hadis Riwayat Tarmidzi) 

Tidak dinafikan, memang ada perbezaan suasana berpuasa di Malaysia dan Mesir dari sudut suasana dan budaya. Walaubagaimanapun, kita perlu meletakkan Ramadhan pada tempat yang selayaknya kerana Ramadhan yang datang tetap Ramadhan yang sama.

Suasana solehah itu jika belum ada, tidak mustahil untuk diwujudkan.  Usaha mengekalkan suasana solehah di Mesir dan usaha mewujudkan suasana solehah di Malaysia adalah mujahadah kita.

Semoga amal soleh di bulan Ramadhan ini menjadi penyelamat kita di akhirat nanti.

Selamat melakukan pecutan terakhir Ramadhan!

 

Madeeha Syaheedah Hishamuddin

Aktivis ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *