Misi Bantuan Banjir Berjaya

RANTAU PANJANG, 2 Disember – Seramai 32 orang sukarelawan terdiri daripada badan i-Medik, Yayasan Ikhlas, Pemuda ISMA, pemain IKFC dan Pembina berjaya dalam misi bantuan banjir kali ini yang menyasarkan penduduk di sekitar daerah Rantau Panjang. Skuad bantuan berkumpul seawal 7 pagi di pejabat ISMA Kota Bharu sebelum bertolak ke Balai Bomba Rantau Panjang. Encik Anwar selaku timbalan pengarah bomba negeri Kelantan sempat memberikan taklimat keselamatan sebelum ekspidisi dimulakan.

 

Destinasi pertama skuad ini adalah Kampung Telaga Mas dan Kampung Kok Batu yang terletak kira-kira 8-10km daripada bandar, menggunakan lori pihak bomba. Penduduk di kawasan ini telah terputus bekalan makanan dan keperluan harian selama beberapa hari akibat banyak kawasan dinaiki air yang tidak dapat dilalui kenderaan ringan. Ada di kalangan mereka yang turut kesuntukan bekalan ubat-ubatan untuk penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang. Mereka juga memerlukan ubat untuk penyakit kulit yang sinonim dengan musim banjir ini.

Wakil setiap badan yang menyertai skuad ini mengambil peluang beramah mesra bersama penduduk kampung serta menyampaikan sumbangan Yayasan Ikhlas berupa makanan asas dan ubat-ubatan. Para pegawai perubatan turut membuka ‘booth’ pemeriksaan kesihatan. Dr Afif berkata, “Sudah menjadi tanggungjawab kami yang berkemampuan untuk membantu mangsa-mangsa banjir, walaupun tidak seberapa. Semoga sumbangan-sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung.”

Kampung Kok Batu terdiri daripada 37 keluarga, Kampung Putat Tujuh mempunyai 30 keluarga, manakala
Kampung Lubuk Stong mempunyai kira-kira 35 keluarga.

Riak gembira jelas tergambar di setiap wajah penduduk kampung terbabit. Sungguh, musibah yang melanda mereka saban tahun mengajar mereka erti syukur dan menghargai rezeki yang diterima.

Skuad banjir kembali ke balai bomba pada pukul 5.30 petang. Skuad disajikan makanan enak di salah sebuah restoran makanan yang terletak di bandar Rantau Panjang.

Skuad bersurai seusai solat berjemaah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *