Misi bantuan banjir Pitas

Oleh: Mohamad Sobri Mohamad Saupi

PITAS, 13 Feb Januari: Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Sabah dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia Kota Kinabalu (Isma KK) serta PEMUDA Isma telah melancarkan Misi Bantuan Banjir pada 28 Januari 2017 di beberapa buah kampung sekitar daerah Pitas yang telah dilanda bencana banjir baru-baru ini.

Misi ini diketuai oleh Dr Mohamad Sobri Mohamad Saupi, Pengerusi I-Medik Sabah dibantu oleh Ustaz Ismail Estin, Imam Kariah di Pitas dan didokong kuat oleh YDP ISMA cawangan Kota Kinabalu, Ustaz Dr. Sarip bin Adul.

Seramai 16 orang sukarelawan yang terdiri daripada aktivis Isma dan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga Kolej Yayasan Sabah telah menyertai misi bantuan ini dengan membawa bantuan seperti barang keperluan harian dan wang tunai hasil sumbangan ahli dan dermawan.

“Antara kampung terlibat ialah Kg. Kusilad, Kg. Kobon dan Kg. Rokum. Kampung ini telah dilanda banjir sebanyak empat kali sejak hujung tahun lepas lagi, tapi banjir kali ini adalah yang paling teruk dan telah memusnahkan tanaman dan menyebabkan perhubungan darat terputus di Kg. Kobon sehingga kami terpaksa menaiki bot untuk mengambil bantuan yang dihantar,” kata Umar Jaman, 52 tahun, wakil dari Kg. Kobon.

Difahamkan, pihak kerajaan melalui agensinya telah mengambil tindakan awal untuk menyediakan pusat pemindahan mangsa banjir dan memberi bantuan asas kepada mangsa yang terlibat. Adapun sumbangan yang diberikan oleh I-Medik dan Isma Kota Kinabalu merupakan tanda sokongan dan kebersamaan atas apa yang dihadapi oleh masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Melihat kedhaifan mangsa banjir sangat mengharukan kerana mereka tetap tersenyum dan ceria walaupun ditimpa musibah. Misi pertama saya ini telah membawa seribu makna buat saya dan bakal menjadi inspirasi untuk diri turut serta lagi dalam program kesukarelawanan sebegini,” ujar Amirah Farhana, 20 tahun, sukarelawan Misi Bantuan Banjir Pitas.

Misi bantuan banjir ini merupakan misi kemanusiaan pertama bagi tahun 2017 sebagai pembuka tirai kepada program I-Medik Sabah yang lain. Misi ini akan diteruskan lagi secara berkala di daerah lain yang terlibat dan orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan untuk misi-misi akan datang. Anda boleh menyumbang ke akaun;

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia, Kota Kinabalu
Maybank Islamic | 560214058721

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *