MIST 1.0 : Rapatkan ukhuwah sesama ahli

DUNGUN, 9 SYAABAN 1438H, Sabtu – Buat julung kalinya, satu program bertemakan ukhuwah dan perjuangan, Multaqa Isma Se Terengganu (MIST 1.0) telah dijalankan dengan jayanya di Dewan Bidara, Hotel UITM Dungun. Program ini telah menggabungkan kesemua cawangan Isma di Terengganu.

Program MIST 1.0 ini adalah anjuran bersama semua cawangan Isma Negeri Terengganu. Cawangan Dungun pula telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran tahun ini. Program ini antara lain bertujuan untuk memupuk ukhuwah serta menyemarakkan semangat juang dalam kalangan semua ahli ISMA di negeri Terengganu Darul Iman dari cawangan Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu.

Tirai program ini dibuka dengan pembentangan ulasan bagi ucapan dasar Presiden ISMA oleh Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin, Naib Presiden Isma yang juga merupakan Pengerusi Kluster Tarbiah ISMA Pusat. Beliau menegaskan berkenaan tiga aspek kepimpinan yang perlu difokuskan iaitu meningkatkan potensi kepimpinan yang sedia ada, menyediakan pelapis dan menambahbaik projek elit, Projek Generasi Harapan (PGH).

Setelah selesai pembentangan, program MIST 1.0 diteruskan dengan slot Bual Bicara bersama wakil JKP Isma Pusat yang dikendalikan oleh Saudara Firdaus, Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kemaman. Disamping Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin sebagai ahli panel, turut hadir ialah Pengerusi Kluster Dakwah Isma Pusat iaitu Ustaz Haji Rushdan bin Abdul Halim.

Dua tetamu yang hadir diajukan dengan pelbagai persoalan demi persoalan yang dijawab dengan jelas dan tersusun. Kedua-duanya antara lain mengharapkan ahli Isma yang hadir untuk melihat pengorbanan yang dilakukan oleh Isma di cawangan-cawangan lain seperti di Sarawak supaya menjadi satu daya penolak untuk gerak kerja dakwah di medan masing-masing.

Pada sesi petang pula, acara sukaneka santai diadakan di pantai Teluk Gadong, Dungun. Peserta juga dijamu dengan juadah kambing golek untuk santapan tengahari. Aktiviti pantai yang dijalankan adalah bagi mengikat kukuh ikatan persaudaraan di antara ahli Isma yang lama dan baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *