Mualim Fairul giat bantu kemenjadian anak remaja

Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kemudian menggosokkan kepala beberapa kali dengan tapak tangannya. Wajahnya yang sejak awal pertemuan tadi ceria dan segar kini muram seolah-olah dibelenggu oleh beban yang amat besar.

“ Dari kecil mereka membesar, bila berpindah ke pendidikan menengah boleh larut begitu sahaja mengikut arus yang tidak baik dalam masyarakat. Seolah-olah adab dan akhlak yang kita bincangkan bersama mereka selama 6 tahun itu seolah-olah langsung tidak masuk ke dalam hati-hati mereka. Uish…hati waktu tu macam direnyuk-renyuk. Hancur ! ,” ujar Ustaz Mohd Fairul Nafazli Bin Md Nazin bila diminta mengulas mengenai pengalamannya bersama-sama anak muridnya. Jelas kekesalan yang menyelimuti wajahnya apabila diminta mengulas perkara pahit yang dilaluinya sepanjang menjadi guru.

Anak jati Pekan Taiping, Perak ini nyata mempunyai hasrat yang besar untuk melihat hasil kemenjadian dikalangan generasi yang bakal mewarisi tampuk Negara. Menurut beliau peringkat sekolah rendah adalah usia yang terlalu awal untuk menilai masa depan seseorang murid itu.

Namun proses pendidikan harus berjalan dengan serius dan dirancang dengan baik untuk memastikan mereka mampu terampil sebagai remaja muslim yang benar-benar memahami tujuan dan matlamat hidup sebagai hamba kepada yang esa.

Sensitiviti beliau dalam isu-isu berkaitan remaja membuatkan beliau nekad untuk menguasai bidang sukan lasak. Melihat kepada besarnya pengaruh sukan lasak dan betapa dekatnya aktiviti ini dengan remaja membuatkan beliau berusaha keras untuk mengikuti kursus-kursus berkaitan dengan sukan lasak sehingga beliau akhirnya melayakkan diri untuk ditauliahkan sebagai Jurulatih aktiviti luar dan sukan lasak Tahap 3 di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negara.

Berbekalkan pentauliahan ini beliau akhirnya menyumbang bersama Kelab Remaja Isma dan aktif dalam aktivisme remaja sejak tahun 2002. Sehingga ke hari ini ribuan remaja pernah berprogram bersama beliau dan dibimbing dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Dalam tempoh 10 tahun beliau melibatkan diri dalam bidang pendidikan, banyak peristiwa yang memberi kesan kepada perjalanan hidup beliau. Dari seorang guru biasa Fairul mengorak langkah membesarkan azam dan impian beliau untuk terus mendidik anak- anak kecil untuk menempa kejayaan dalam hidup. Hingga ke saat ini setelah menjawat jawatan Guru Besar di SRA Hira’ beliau yang lebih mesra dengan panggilan Muallim Fairul tetap komited dengan usaha-usaha mendidik masyarakat bukan sahaja di sekolah bahkan di dalam masyarakat setempat di Pekan Klang.

Menjawat jawatan sebagai Ketua Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Klang, beliau turut aktif dalam menganjurkan ceramah di masjid-masjid dan lokasi terpilih di sekitar Klang. Apabila ditanya mengenai hasratnya dalam kerja-kerja dakwah ini, beliau dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa umat Islam di Malaysia ini harus bersyukur kerana kita masih memiliki ramai ilmuan dan pakar-pakar yang sanggup berkongsi kaedah dan cara dalam usaha untuk membentuk keluarga dan masyarakat yang diberkati Allah.

Peluang ini harus digunakan oleh umat islam sebaik mungkin supaya hasrat besar ini dapat dicapai. Melihat keruntuhan institusi keluarga hari ini sudah sangat meresahkan beliau. Di sini lah berdasarkan pandangan beliau menjadi penyumbang utama kepada munculnya isu-isu sosial yang lain terutama yang melibatkan remaja. Banyak kes-kes delikuensi remaja yang beliau hadapi hari ini datangnya dari keluarga yang kucar kacir dan runtuh. Menginsafi keadaan ini membuatkan beliau terus gigih memerah keringat siang dan malam menggerakkan misi besar dakwah beliau.

Mengakhiri petemuan beliau berpesan pada akhirnya segala usaha dan keringat yang kita curahkan semuanya akan menjadi hujjah kita dihadapan Allah swt. Justeru, kejujuran dan keikhlasan perlu menjadi teras utama dalam kita menggerakkan amanah besar dalam masyarakat.

Oleh : Asmadi Samad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *