Mufti Wilayah Persekutuan sambut mesra kunjungan ISMA KL

photo_2015-03-27_22-00-58
Oleh Nurhafiza Harun
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyambut kunjungan hormat  wakil Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Kuala Lumpur (ISMA KL) ke  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pagi semalam.
 
Perjumpaan rasmi yang diketuai oleh Yang Dipertua ISMA KL, Dr. Osman Md Rasip ini adalah bertujuan merapatkan hubungan dan menjalin kerjasama antara ISMA KL dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
 
Diskusi yang berlansung hampir sejam ini memberi peluang kepada pihak Jabatan Mufti untuk mengenali dan mengetahui serba sedikit mengenai penubuhan ISMA KL dan program-program yang telah dijalankan oleh ISMA KL serta agensi-agensi yang bernaung di bawahnya.
 
Antara program yang telah dijalankan dan dirancang adalah seperti Usrah Umum, Ceramah Bulanan, Usrah Wanita, Hari Keluarga, Kuliah Dhuha dan bermacam-macam lagi program yang dilaksanakan oleh agensi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Kelab Remaja ISMA (KRIM), Nadi al-Azim (NAZIM) dan Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) yang menyasarkan semua lapisan masyarakat.
 
Lawatan yang dianjurkan oleh Biro Dakwah ISMA KL ini juga turut membincangkan isu-isu semasa yang kritikal terhadap pemikiran umat Islam seperti ancaman liberalisme, syiah dan sebagainya.
 
Datuk Dr Zulkifli juga telah mencadangkan pihak ISMA KL untuk memberikan fokus dakwah di Wilayah Persekutuan termasuk Putarajaya dan Labuan.
 
Beliau juga menyarankan pihak ISMA KL memberi tumpuan kepada isu-isu sosial terutama golongan belia dan remaja dengan dapat mewujudkan pusat-pusat perlindungan.
 
Perjumpaan ini diakhiri dengan pemberian cenderamata kepada Jabatan Mufti daripada ISMA KL.
Pada masa yang sama Jabatan Mufti menyerahkan sumbangan 300 buah buku kepada ISMA KL yang bertajuk “Mengenal Hakikat Syiah”.