MUNAFIK: Golongan yang menjadikan sumpah bohong sebagai perisai

tanda-munafik-ilustrasi

Semakin hari semakin jelas tentangan yang dizahirkan oleh musuh-musuh Allah terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia mahupun di Negara kita, Malaysia. Kesempitan dan ketakutan yang dirasakan daripada tentangan-tentangan itu membuatkan sebahagian daripada umat Islam memilih untuk berteduh tenang di bawah ‘ketiak’ musuh Islam dengan pelbagai alasan yang lemah dan tidak munasabah. Apatah lagi ada di antara mereka mendendangkan buah fikiran dan idea-idea  Liberalisme dan Pluralisme yang sememangnya meyimpangkan mereka daripada jalan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW menuju Allah SWT, semata-mata ingin merasakan bahawa perbuatan mereka adalah betul dan yang sebenarnya. Golongan ini adalah golongan munafiq yang disebut oleh Allah di dalamayat-Nya sebagai bersetia kawan bersama musuh Allah SWT.

Di bahagiana khir Surah Al-Mujadalah banyak menceritakan tentang golongan ini dengan jelas dan banyak. Allah menceritakan tentang siapakah sebenarnya golongan yang bersetia kawan bersama musuh-musuh Allah ini. Firman Allah SWT di dalam Surah Al Mujadalah ayat 14-16:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ تَوَلَّوْا قَوْمًا غَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِم مَّا هُم مِّنكُمْ وَلَا مِنْهُمْ وَيَحْلِفُونَ عَلَى الْكَذِبِ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Tidakkah engkau melihat orang-orang (munafiq) yang bersetia kawan dengan kaum (yahudi) yang telah dimurkai Allah? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (yahudi); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.

اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ فَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatla hmereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.

                Asy-Syahid Sayyid Qutb di dalam Tafsir Fi Zilalil Qur’an menerangkan golongan munafiq yang dimaksudkan ayat di atas,

“Mereka (orang munafiq) mahu melindungkan diri mereka dengan sumpah itu dari tindakan kaum muslimin yang mempersalahkan mereka kerana terbukanya tembelang perancangan-perancangan mereka yang jahat, “Mereka telah menggunakan sumpah (bohong itu) sebagai perisai” yakni sebagai perlindungan, dan dengan berbuat begitu mereka dapat meneruskan langkah-langkah mereka yang sulit untuk menghalang orang ramai dari agama Allah.”

                Jelas sekali melalui peringatan Allah itu menampakkan kepada kita golongan munafik ini hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya ingin bersama Islam dan umat Islam menuju jalan Allah SWT yang suci dan lurus. Golongan ini merasa aman jika berada dibawah ‘ketiak’ musuh Islam atau pun bekerjasama dengan musuh-musuh Allah untuk melindungi harta, kedudukan dan nyawa mereka daripada ancaman musuh. Bahkan golongan ini menyanyikan alasan-alasan mereka supaya ianya diterima masyarakat terutamanya umat Islam. Walhal alas an mereka adalah rapuh dan tidak berasas seperti dinyatakan Allah dalam ayat seterusnya dalam Surah Al Mujadalah ayat ke-18:

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعًا فَيَحْلِفُونَ لَهُ كَمَا يَحْلِفُونَ لَكُمْ ۖ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ عَلَىٰ شَيْءٍ ۚ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْكَاذِبُونَ

(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepadakamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.

Seterusnya Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang ini tergolong bersama Hizbusy-Syaitan atau pun bersekongkol dengan kumpulan yang menjayakan agenda syaitan. Mana mungkin mereka yang bersekongkol dengan agenda musuh-musuh Allah SWT dipanggil sebagai hero umat Islam ataupun pejuang agama Allah. Tidak sama sekali. Bahkan mereka semakin tenggelam dengan perencanaan ‘kawan-kawan’ mereka untuk memusnahkan Islam dan umat Islam. Mereka sebenarnya telah dikuasai oleh ‘kawan-kawan’ mereka itu seperti kuda tunggangan atau seperti keldai yang disaratkan dengan bebanan ‘kawan-kawan’ mereka untuk memenuhi matlamat memusuhi Islam.

Keadaan ini disokong pula dengan firman Allah SWT juga di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 19:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul SAW, kita seharusnya mengambil langkah yang ditetapkan Allah SWT kepada kita iaitu dengan memutuskan hubungan dengan mereka yang bersekongkol dengan musuh Allah SWT. Ini adalah kerana hanya akan ada dua golongan sahaja yang tinggal. Yang pertama ialah golongan orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an seluruhnya. Yang kedua pula ialah golongan yang memusuhi Allah SWT dan Rasul-Nya serta berusaha menggagalkan segala bentuk kebaikan yang dilakukan oleh Islam dan umat Islam seluruhnya. Maka tidak akan ada 1 golongan pun di antara keduanya. Dan tugas kita adalah memilih dan terus tetap untuk bersama Hizbullah iaitu golongan yang pertama walau sehebat manapun ancaman musuh-musuh Allah SWT kepada kita kerana firman Allah dalam ayat seterusnya di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 20 dan 21:

إِنَّ الَّذِينَ يُحَادُّونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ فِي الْأَذَلِّينَ

Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina

كَتَبَ اللَّهُ لَأَغْلِبَنَّ أَنَا وَرُسُلِي ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Allah telah menetapkan: “Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasul-Ku tetap mengalahkan (golongan yang menentang) “. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

                Allah menjanjikan kemenangan buat mereka yang memilih untuk bersama Allah SWT dengan bersama-sama berusaha untuk melindungi agama Allah SWT daripada ancaman musuh-musuh Allah SWT. Selain itu juga kita ditegah untuk berkawan baik atau bermesra dengan mereka yang menentang Allah SWT dan Rasul-Nya walaupun keluarga sendiri seperti firman Allah di dalam ayat terakhir Surah Al-Mujadalah iaitu ayat yang ke-22:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ ۖ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ أُولَٰئِكَ حِزْبُ اللَّهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

                Semoga kita akan terselamat daripada golongan yang bersetia kawan dengan musuh-musuh Allah SWT ini. Dan semoga Allah SWT terus menetapkan hati kita bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh yang berusaha menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini khususnya di bumi Malaysia tercinta.

Ditulis oleh,

Ustaz Mohamad Faisal bin Harun

Setiausaha,

ISMA Cawangan Kuala Pilah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *