Nazim Batu Pahat Dedah Bahaya Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Batu Pahat, 5 April 2018 – Isu keselamatan dan jenayah seksual dikalangan kanak-kanak pada hari ini semakin meruncing dengan sejumlah 382 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didaftarkan berlaku dalam tempoh masa Jun 2017 hingga Februari 2018.

Bagi menbendung masalah tersebut, Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) cawangan Batu Pahat telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan ceramah “Awas, Pelihara Dirimu!” bagi mendedahkan anak-anak yang berusia antara tujuh hingga dua belas tahun tentang bahaya jenayah seksual yang boleh berlaku terhadap mereka.

Pelbagai contoh dan kes yang telah berlaku dikongsikan oleh pegawai Bahagian Penyiasat Seksual, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Inspektor Norhayati Zainon di Masjid Parit Bilal, Tongkang Pechah baru-baru ini.

Jenayah seksual merupakan aktiviti seksual yang dilakukan oleh individu yang lebih dewasa terhadap kanak-kanak untuk memuaskan nafsu mereka yang tidak terkawal.

Menurutnya, terdapat dua bentuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak iaitu perlakuan yang tidak melibatkan sentuhan dan yang melibatkan sentuhan fizikal.

Hal ini termasuklah menunjukkan gambar atau video pornogrfi kepada kanak-kanak selain ciuman dan perbuatan meraba di bahagian sensitif iaitu di bahagian dada, kemaluan serta punggung.

Justeru, anak-anak perlu mengambil tindakan yang perlu apabila mereka menghadapi gangguan-gangguan tersebut dengan memaklumkan kepada orang yang dipercayai seperti ibu bapa atau guru.

Tambahnya lagi, kanak-kanak perlu belajar untuk berhati-hati dan menghormati tubuh badan sendiri dan orang lain seperti memberi perhatian mengenai perkembangan fizikal tumbesaran badan agar tidak sewenang-wenangnya menunjukkan tubuh badan mereka kepada orang lain walaupun ahli keluarga sendiri.

Selain itu, kemudahan teknologi yang ada pada masa kini juga merupakan satu cabaran buat anak-anak yang sedang membesar kerana dikhuatiri mudah terjebak dengan gangguan seksual tanpa disedari melalui media sosial.

Anak-anak turut dipesan agar sentiasa berwaspada dengan orang yang tidak dikenali dan tidak mudah memberikan maklumat peribadi kepada orang luar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti Nazim Batu Pahat boleh didapati menerusi laman facebook Nazim Batu Pahat, https://www.facebook.com/kelabanakhebatmalaysiabp/.

Nur Aminah Shahirah Mohd Karno
Wartawan Isma Batu Pahat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *