Nazim Pahang didik anak-anak mengenal Allah melalui penerokaan Sains

KUANTAN, 1 Apr. – “Anak-anak perlu dididik mengenal Tuhan dengan menerokai dunia Sains,” kata Dr. Aisyah Badhrulhisham, Ketua Kelab Anak-Anak Hebat (Nazim) Pahang ketika ditemui di Kem Saintis Soleh yang berlangsung di Pusat Komuniti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan semalam.

Dr. Aisyah menjelaskan, mengenal Allah bukan didapati hanya melalui pembelajaran teori semata-mata bahkan menghayati kehebatan ciptaan Allah akan mengukuhkan lagi kepercayaan anak-anak kepada Tuhan Pencipta Alam.

“Sebagai contoh, eksperimen Sains merupakan aktiviti yang menyeronokkan bagi anak-anak dalam menterjemahkan teori Sains kepada praktikal.

“Aktiviti sebegini penting sebagai ransangan kepada minda anak-anak di samping memberi alternatif kepada masalah ketagihan gajet yang semakin membimbangkan pada masa kini,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuantan.

Dalam pada itu, menurut Wan Syafiqa Meor Hasan, Ketua Fasilitator program, peserta bukan sahaja diterangkan mengenai teori Sains di sebalik setiap eksperimen tersebut malah mereka turut diajar untuk mengenal Allah dengan menghayati kehebatan ciptaanNya.

Antara slot menarik yang dijalankan di Kem Saintis Soleh anjuran Nazim Pahang ini adalah Slot Eksplorasi Saintis Muda di mana setiap peserta menjalankan pelbagai eksperimen Sains menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di rumah.

Turut dijalankan adalah aktiviti lain seperti riadah, silat, solat berjemaah, qiamullail, dan juga kuiz uji minda.

Lebih 20 peserta dari sekitar Daerah Kuantan telah menyertai program ini dan setiap peserta dibimbing oleh fasilitator daripada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *