NGO ISLAM DAN PEJABAT AGAMA MUAFAKAT ANJUR PROGRAM SEMPENA RAMADAN, BERI SINAR KEPADA BELIA DAN GOLONGAN MEMERLUKAN

Johor Bahru, 2 Jun – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) cawangan Johor telah berjaya menganjurkan satu program khas sempena Ramadan yang bertempat di Dewan Kompleks Islam, Pusat Islam Iskandar Johor Bahru pada hari Sabtu yang lalu. Program anjuran bersama dengan pelbagai pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan seperti YADIM, Aman Palestin, Yayasan Ikhlas, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dengan sokongan daripada Jabatan Agama Islam Johor telah membuktikan bahawa agensi kerajaan dan bukan kerajaan boleh sebulat suara dan bermuafakat dalam perkara yang menguntungkan Islam dan umat.

Program yang telah berlangsung selama satu hari ini telah disajikan dengan pelbagai jenis aktiviti yang menarik antaranya Forum Ramadan, serahan Bakul Kasih Ramadan dan juga persembahan nasyid bagi menghiburkan para hadirin yang datang. Seramai 550 orang peserta telah hadir bagi memeriahkan program anjuran Pembina kali ini.

Melalui penganjuran program sebegini, Pembina berharap para peserta dapat diberikan tentang kefahaman yang jelas berkaitan Islam khususnya ibadah puasa di bulan Ramadan dan seterusnya dapat menghayati Ramadan sebagai bulan perjuangan. Menurut saudara Muhaimin Mahmood yang merupakan pengarah bagi program forum Ramadan pada tahun ini, “selain memperkenalkan Pembina dan memberi kefahaman berkaitan ibadah puasa kepada belia yang hadir, program ini juga diharap dapat meringankan beban para pelajar yang telah terpilih untuk menerima sumbangan Bakul Kasih Ramadan yang disampaikan menerusi bantuan Yayasan Ikhlas.”

Ramadan Bulan Meninggikan Jiwa, Mendidik Hawa Nafsu

Program kali ini yang telah menampilkan tema “Menjunjung Sirah Mengakar Mujahadah” telah mengadakan satu forum yang menampilkan panelis yang cukup hebat sekali. Barisan panelis yang telah dijemput adalah Al Fadhil Ustaz Lukmanul Hakim bin Hj. Abdul Rahman dari Baitulmal Johor Bahru dan juga Al Fadhil Ust Fuad Zaki b Hisham yang merupakan Pegawai Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor dan telah dipengerusikan oleh saudara AD Satiman, aktivis Pembina Johor.

Antara isi-isi penting yang cuba disampaikan melalui forum ini adalah fungsi bulan Ramadan dan ibadah puasa itu sendiri sebagai faktor untuk meninggikan jiwa dan seterusnya mendidik manusia agar tidak tunduk kepada hawa nafsu semata. Hawa nafsu ini datang dalam pelbagai bentuk. Antara perkara negatif yang sinonim dikaitkan dengan Ramadan adalah pembaziran makanan.

Menurut Ustaz Fuad Zaki, “Terdapat 15,000 tan makanan dibuang setiap hari di Malaysia dan jumlah ini bertambah pada bulan puasa. Bulan puasa sepatutnya mengajar dan mendidik umat Islam supaya tidak membazir khususnya dalam urusan pembelian makanan ketika berbuka. Pembaziran ini boleh dielakkan jika kita menghayati makna sebenar ibadah puasa itu sendiri”.

Selain itu, Ramadan juga merupakan bulan di mana manusia mengambil peluang untuk melahirkan perasaan ukhuwah dan kasih sayang sesama manusia, ujar beliau lagi.

Bakul Kasih Ramadan Yayasan Ikhlas, Sinari Aidilfitiri 70 Orang Pelajar Tidak Bernasib Baik

Di samping forum, satu majlis penyerahan sumbangan daripada Yayasan Ikhlas juga turut diadakan. Seramai 70 orang pelajar yang terdiri daripada latar belakang keluarga yang tidak bernasib baik telah terpilih untuk menerima sumbangan ini.

Majlis penyerahan yang telah di sampaikan oleh Tuan Hj. Baba bin Ismail, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Menengah PPD Johor Bahru telah menyamaikan sumbangan wang tunai dan juga barang keperluan harian untuk digunakan sempena Aidilfitri nanti.

Menjadi kelaziman bagi Yayasan Ikhlas untuk menyampaikan sumbangan Bakul Kasih Ramadan pada setiap tahun. Yayasan Ikhlas berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga penerima sempena Aidilfitri yang bakal kunjung tiba nanti.

Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Al Fadhil Ustaz Tuan Hj. Dzulkafli bin Mohamed, Kadi Daerah Johor Bahru.

 

Oleh: Adli Adnan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *