OSC telah Mempersiapkan Aku! Perkongsian Pengalaman Lepasan SPM

ASAHAN, 19 Februari – Sekurang-kurangnya empat peserta perempuan menitiskan air mata seusai keluar dari bilik temuduga. Simulasi temuduga merupakan salah satu modul utama yang digunakan dalam program tahunan anjuran Kelab Remaja Isma, One Step Closer (OSC). OSC merupakan antara perkongsian bersiri untuk pelajar lepasan SPM, susulan daripada Karnival Lepasan Sekolah (KLS), yang telah diadakan pada Januari lalu.

“Saya terlalu gemuruh kerana saya mendapat nombor giliran pertama. Semasa dalam bilik temuduga saya dapat menahan air mata saya, tetapi sebaik sahaja melangkah keluar air mata tidak dapat ditahan lagi,” kata Siti Nor Nabilah Syasya binti Ismail, pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Melaka.

OSC2017

Tambahnya lagi, “Secara jujurnya, saya tidak menyangka yang saya boleh menjawab soalan yang diajukan oleh penemuduga. Tidak dapat saya gambarkan perasaan yang ada. Syukur. Sesi temuduga ini beri banyak pengalaman pada saya. Ia mengajar saya untuk berani dan yakin dalam penampilan. Insya-Allah, pada masa hadapan saya tidak akan gemuruh lagi dan akan buat yang lebih baik seperti yang telah diajar di OSC.”

Selain simulasi temuduga, para peserta didedahkan dengan beberapa slot yang menginspirasikan seperti hala tuju kehidupan, forum “Aku Budak Dekan” dan ujian personaliti. Mereka dapat mengenal dengan lebih mendalam tentang personality dan kelebihan diri mereka. Ini akan sangat membantu mereka dalam memilih bidang dan kerjaya yang akan diceburi.

“Saya dapat tahu apa personaliti diri saya dan bidang apa yang sesuai untuk saya. Setelah melakukan ujian personaliti, saya sesuai untuk menjadi jururawat. Insya-Allah, saya akan sambung pengajian dalam bidang ini kerana ia memang minat saya sejak kecil. Saya pasti akan buat yang terbaik,” jawab Nor Atiqah binti Mohd Hanapiah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek ini.

Wartawan Ummah,
Nur Farhana Zali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *