Pasukan OKU sahut cabaran Liga Komuniti Isma 2018

SHAH ALAM, 13 Februari – Buat pertama kali dalam sejarah liga komuniti di Selangor apabila Selsdeaf, pasukan yang diwakili pemain orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, bakal bersaing bersama 19 pasukan lain dalam Liga Komunti Isma 2018 bermula hujung bulan ini di Shah Alam.

Pengarah teknikal kejohanan yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Bola Sepak Isma, Mohd Hazwan Ab Halim, berkata kejohanan kali pertama diadakan itu turut menawarkan slot kelayakan ke Divisyen 5 FAM dan merupakan anjuran bersama Kelab Bola Sepak Isma dan Pemuda Isma.

Katanya, penganjuran bagi kejohanan tahun ini masih mengekalkan konsep dan peraturan yang sama seperti Piala Presiden Isma sebelum ini cuma ia berlangsung dalam format liga yang lebih panjang.

“Liga kali ini akan membabitkan 20 pasukan bola sepak komuniti di sekitar Selangor melebihi sasaran awal yang ditetapkan penganjur iaitu sebanyak 12 pasukan.”

“Kita mahu tumpukan kepada pembangunan pasukan berasaskan komuniti dengan harapan dapat mencungkil bakat-bakat baru yang mungkin tidak mendapat peluang menonjolkan bakat mereka sebelum ini,” katanya kepada Isma.org, hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa penganjur berhasrat agar pasukan-pasukan komuniti berganding bahu mencungkil pemain berbakat untuk negara seperti yang dilakukan pasukan Hotspurs dari Kampung Air Panas pada era 1960-an yang melahirkan lagenda bola sepak negara seperti Datuk Santokh Singh dan Datuk K Rajagopal. Pengalaman yang hampir sama turut dilalui oleh Jalil Che Din, Salleh Ibrahim, Wan Zawawi Wan Yusoff, Datuk Namat Abdullah dan Allahyarham Ali Bakar yang mengasah bakat awal melalui penglibatan pasukan Penjara Taiping dalam Liga Divisyen 1 Perak dan Piala Bayley.

“Jadi kita berharap penganjuran liga seperti ini mampu membantu pembangunan bola sepak negara, jikapun tidak banyak mungkin sebahagian,” katanya.

Kejohanan Liga Komuniti Isma ini turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat korporat seperti Science Valley dan Kumpulan Azzahrah selain daripada persatuan seperti Ifitness, Persatuan Usahawan Muslim Malaysia (USMAN), Grafika, Piksma, KB Isma Shah Alam, Isma Shah Alam dan KB Isma Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *