PAU 2017 – Jangan jadikan Islam hanya sebagai cukup syarat

 

Saya tidak pasti berapa ramai yang menunggu untuk mendengar ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017 yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi. Selaku generasi muda, yang pasti saya memilih untuk mendengar kerana mahu melihat sejauh mana UMNO masih relevan untuk bangsa Melayu pada masa akan datang.

Perkara yang paling penting sekali, saya mahu melihat sejauh mana pembacaan mereka mengenai situasi masyarakat Melayu pada masa sekarang menentukan keputusan yang mereka lakukan. Sudah tentu, perkara tersebut akan menentukan masa depan generasi muda negara ini. Hal ini kerana, generasi kamilah yang akan menerima tempias segala tindak tanduk UMNO terutama di peringkat barisan pemimpinnya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ucapan berlegar-legar sekitar sumbangan yang telah dilakukan oleh UMNO daripada zaman pimpinan dahulu sehinggalah sekarang. Kemudiannya diakhiri dengan pujian dan sanjungan barisan pemimpin mereka dan diikuti dengan laungan hiruk-pikuk, baik daripada ahli persidangan lelaki mahupun wanita.

Tetapi yang menarik perhatian saya adalah bagaimana ucapan Datuk Seri Zahid Hamidi menggunakan teknik yang cukup berkesan dengan meletakkan unsur penekanan nilai agama pada awal serta penghujung teks ucapan beliau. Teknik “sandwich” ini sangat berkesan memandangkan ucapan beliau yang begitu panjang, sudah tentu pendengar akan fokus pada isi awal dan akhir ucapan.

Pada awal ucapan, beliau memetik ayat daripada Surah al-Furqan, kemudian diikuti dengan seruan untuk penghambaan diri kepada Allah, dan kemudiannya dikupas lagi dengan tanggungjawab mereka sebagai khalifah. Pada akhir ucapan pula, beliau menekankan supaya agama itu dipertahankan agar peradaban kita terpelihara.

Ucapan yang cukup cantik saya kira. Namun persoalannya, adakah seruan di awal dan penghujung itu menjadi pedoman dalam melaksanakan kesemua isi-isi penting yang ada di pertengahan ucapan? Atau ianya hanya sekadar cukup syarat untuk memetik ayat al-Quran dan menggunapakai terminologi-terminologi arab dan Islamik dalam ucapan untuk menarik perhatian rakyat?

Selaku generasi muda, memang tidak salah jika saya katakan golongan anak muda yang cenderung ke arah nilai Islam semakin bertambah walaupun diasak dengan cabaran modenisasi. Buktinya kita dapat lihat dengan kebiasaan masyarakat kita untuk bertudung, menggemari fesyen Muslimah dan program ilmiah yang Islamik. Malah perkataan usrah juga bukan lagi perkataan janggal dalam masyarakat kita. Hal ini berbeza dengan zaman nenek moyang kami dahulu.

Namun, fenomena ini janganlah dijadikan sebagai peluang golongan opportunist dalam kalangan ahli politik. Sikap pragmatik yang tidak berpendirian juga harus dielakkan. Rakyat masa sekarang bukan seperti rakyat masa dahulu. Kami pandai menilai yang mana intan yang mana kaca, yang mana kata ikhlas yang mana janji manis.

Kesimpulannya, nilai Islam dalam sesebuah organisasi itu lebih sekadar laungan-laungan manifesto atau terminologi-terminologi yang dilekatkan pada laman sesawang, iklan atau poster, mahupun yang digunakan dalam ucapan. Ianya adalah cara hidup dan pegangan yang kukuh yang harus dididik dalam jiwa setiap ahli organisasi.

Kerana jiwa Individu Muslim yang utuh itu lebih kuat daripada bahtera kayu yang besar, namun diiisi dengan anai-anai. Oleh itu, saya menyeru generasi muda untuk undilah calon Muslim berwibawa.

Ya. Tahap kewibawaan itu subjektif mengikut individu. Namun saya yakin generasi baru Muslim hari ini tidak dungu untuk membuat keputusan.

 

Hanis Noor

Ketua Editor isma.org

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *