Pelajar Maahad Imtiyaz naib johan Pertandingan Hafazan Peringkat Kebangsaan

Fida’ bergambar kenangan bersama Pengetua, Ustaz Rosidi Shahari

Oleh Siti Noor Atifah Mohd Asri

IPOH, 30 Sept – Maahad Imtiyaz (MIM) sekali lagi menempa kejayaan bermakna apabila salah seorang pelajarnya, iaitu Fida’ Muhammad Fauzi berjaya memperoleh naib johan pertandingan Hafazan Al-Quran kategori Menengah Atas dalam Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah (MISS) Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Sebelum ini juga, Fida’ telah membanggakan seluruh warga MIM dengan kejayaannya mendapat tempat pertama dalam pertandingan yang sama di peringkat negeri Perak.

Kejayaan Fida’ ternyata tidak berhenti di situ saja, malah Fida’ berjaya melakar kejayaan yang lebih bermakna lagi di peringkat kebangsaan.

“Saya amat bersyukur ke hadrat ilahi atas kejayaan ini. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Tuan Azman sebagai jurulatih Fida’, para pegawai PPD, para pegawai JPN Perak, para guru dan semua pihak yang terlibat atas usaha dan sokongan yang diberikan” ujar Ustaz Rosidi Shahari, Pengetua MIM.

“Tujuan masuk bertanding kena jelas, iaitu untuk memartabatkan lagi bacaan Al-Quran, selain kita berazam dan bercita-cita agar bacaan kita sama seperti bacaan Nabi saw dan para sahabat baginda. Bacaan mereka penuh dengan keinsafan ditambah pula dengan suara yang merdu dan berlagu” tambah Rosidi lagi.

Pertandingan tersebut turut dihadiri oleh 25 orang pelajar MIM lain sebagai penyokong dan pembakar semangat kepada Fida’.

Kejayaan ini merupakan antara kejayaan terbesar yang pernah diraih oleh MIM semenjak penubuhan sekolah ini pada tahun 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *