Pembina Johor terima Anugerah Perdana Belia Negara

APBN2016

Oleh: Nurul Hidayah Ismail

JOHOR BAHRU, 13 April – Pada 9 April yang lalu, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) cawangan Johor telah menerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2016 peringkat daerah Johor Bahru.

Anugerah yang disampaikan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru dan Majlis Belia Daerah Johor Bahru itu memperlihatkan bahawa Pembina merupakan NGO yang berprestij dan dipandang tinggi oleh masyarakat serta organisasi luar.

Menurut Pengerusi Pembina Johor, En. Mohd Muhaimin Mahmood, faktor Pembina Johor telah dipilih untuk menerima anugerah tersebut adalah berdasarkan penilaian daripada pelbagai aspek termasuklah mempunyai  struktur organisasi yang jelas, menjalankan aktiviti dan program yang berkesan serta mematuhi perlembagaan.

“Islam mengajar umatnya untuk mempunyai gerak kerja tersusun. Ia ibarat sebuah bangunan, jika ia mempunyai susunan bata yang tersusun, ia akan kukuh,” katanya lagi.

En. Muhaimin juga berharap agar menerusi pencapaian ini, setiap ahli Pembina terus bersama-sama bergerak lebih laju untuk mendokong agenda Pembina dengan dibarisi pimpinan yang tersusun kukuh.

Sesi penyampaian APBN pada tahun ini telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Ab. Wahab Bin Ridwan di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. –Pembina

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *