Pemuda beriman menjayakan fikrah

DSC_0028

SERI ISKANDAR, 22 Mac –“Setiap fikrah itu akan berjaya apabila ia diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan keikhlasan yang mendalam untuk memperjuangkannya. Ditambah dengan semangat yang berkobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam melaksanakannya.”

Demikian tegas Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seri Iskandar, Saudari Azreena Alwi ketika memberikan ceramahnya yang bertajuk Wahai Pemuda di dalam program Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) khusus untuk para aktivis wanita di Pejabat ISMA cawangan Seri Iskandar semalam.

Tambahnya, sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang penuh yakin dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat berkobar-kobar untuk mempertahankan kewujudannya, di samping adanya kesediaan yang mendorong mereka ke arah melakukan pengorbanan sehingga berjaya.

“Berdakwah kepada diri sendiri dan kepada orang di sekeliling adalah tanggungjawab kita sebagai pemuda. Pendek kata iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan rukun-rukun khusus untuk para pemuda. Sebab asas iman ialah hati yang terang, asas ikhlas ialah jiwa yang bersih, asas semangat ialah perasaan yang mantap dan asas amal ialah azam yang kuat,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, ke semua faktor ini tidak lain dan tidak bukan ialah sifat yang khusus untuk para pemuda. Dari sini ternyata bahawa para pemuda di kalangan setiap umat sama ada di zaman dahulu atau sekarang adalah merupakan tiang seri kebangkitan umatnya.

Sementara itu, Ketua Beliawanis Seri Iskandar Saudari Siti Rabiatul Adawiah ketika menyampaikan ucapan penutup telah mengingatkan tentang hakikat perjalanan dakwah dan tarbiyah yang bukannya mudah dan sangat panjang, justeru memerlukan pemuda yang bijak dalam membuat penilaian tentang kehidupan akhiratnya.

Program yang bermula pada pukul 8.30 malam ini turut dilengkapi dengan qiamulail sebelum berakhir pada pukul 8 pagi selepas para peserta diajak untuk beriadhah.

Ini merupakan satu usaha ISMA Seri Iskandar dalam melahirkan pemuda pemudi aktivis yang bukan sahaja cemerlang pemikirannya, tetapi cemerlang juga ibadah dan sihat fizikalnya.

Disediakan oleh:
Noorhuda Mohd Zahari
Wartawan Media ISMA Seri Iskandar  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *