Pemuda Isma kesal veteran British dijemput sertai perarakan kemerdekaan

Penyertaan Veteran Askar British tidak akan padamkan kesan penjajahan British dalam diri anak bangsa. Penglibatan mereka dalam zaman melawan komunis (zaman darurat) dan Konfrontasi Indonesia – Malaysia bukanlah alasan untuk melupakan ketamakan dan kekejian bangsa kolonial ini.

Tanah Melayu dilambung-lambung seperti bola bertukar-tukar tangan rejim penjajahan. Mereka musnahkan sejarah tanah air kita, mengaut kekayaan tanah ini, mengimport orang asing dan pecah dan perintah kita dalam tanah air sendiri.

Kemudian dalam tangan penuh darah umat Islam, mereka berlagak hero dan penyelamat. Mereka bukanlah menyelamatkan tanah air ini tetapi hanya menjaga periuk emas mereka dan kedudukan geopolitik mereka di benua Asia.

Kita kerap didendangkan berita-berita dari media perihal NGO dan kerajaan mereka menyampaikan beribu bantuan pada benua Afrika. Sedarkah kita merekalah yang dahulunya merosakkan dan merampas kekayaan. Sekarang mereka hanya berikan sisa supaya bangsa yang pernah dijajah hidup meminta-minta.

Apa yang kita risaukan, pengiktiraf ini bakal menghilangkan sentimen perjuangan melawan penjajahan dalam diri generasi baru. Mereka mungkin tidak merasai susah payah generasi Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Dato’ Maharaja Lela dalam melawan penjajah. Jemputan ini akan memburukkan lagi keadaan generasi baru apabila ia akan menampakkan British sebagai penyelamat Tanah Melayu. Bahkan, lebih malang lagi dosa-dosa mereka kepada bangsa Melayu dan agama Islam bagaikan dilupakan.

Pemuda Isma menyatakan kekesalan atas jemputan untuk mereka menyertai sambutan kemerdekaan kali ini. Kami menyeru pihak penganjur untuk mengutamakan para veteran dan pejuang-pejuang tanah air. Tidaklah layak bagi para penjajah ini untuk berarak setaraf dengan para pejuang kita dan mendapat tabik hormat dari rakyat Malaysia. Agaknya apakah yang bakal diperkatakan Tok Janggut dan Dato’ Maharaja Lela jika melihat situasi ini?

Pemuda Isma menyeru para anak muda untuk kembali menghayati sejarah perjuangan generasi yang lalu. Darah para pejuang yang tertumpah dalam melawan penjajahan British tidak boleh dikeringkan dengan pengiktirafan kita kepada para veteran ini.

#IniNegaraPerjuangan

Muslim Bin Abdullah Zaik
Biro Penerangan dan Kajian
Pemuda ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *