Pemuda sebagai generasi harapan kegemilangan bangsa

BULAN Ogos menandakan tibanya lagi bulan yang bermakna buat rakyat Tanah Melayu. Kedatangan Ogos pada tahun in merangkap genapnya 60 tahun Merdeka. Di mata usia sebuah empayar, 60 tahun amat singkat tempohnya, namun cukup besar perubahan yang telah dikecapi sejak awal kita merdeka. Namun begitu, setiap empayar yang terdahulu dimamah zaman dan amat rugi jikalau kita tidak ambil pengajaran daripada lebaran sejarah agar kemerdekaan negara kita yang sedia ada berkekalan dan terus maju ke hadapan.

Apabila diperhatikan sirah perkembangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW, persamaan kemerdekaan Tanah Melayu serupa dengan peristiwa pembukaan Kota Mekkah. Walaubagaimanapun, perkembangan Islam ke serata dunia berlaku pada zaman seterusnya. Islam berkembang pesat sehingga menakluki hampir dua pertiga dunia, semua itu dicapai oleh para sahabat yang terdiri daripada golongan pemuda.

Lantasan itu, sejarah membuktikan pemuda-pemuda berpotensi untuk melakukan perkara yang besar dalam mengubah dunia, apatah lagi membangunkan sebuah negara. Hal itu jelas berlaku apabila ia dibimbing dengan fahaman dan matlamat yang jelas. Lihat Sultan Muhammad al-Fateh sebagai contoh, pada usia 21 tahun beliau berjaya membebaskan Konstatinopal. Bukti yang jelas menyokong potensi para pemuda mampu membawa impak yang besar dalam lebaran sejarah sekiranya diusahakan.

Sewaktu nabi Muhammad SAW berada di Madinah, dikatakan hampir setiap masa, seramai dua puluh pemuda berada bersama rasulullah SAW. Kehadiran mereka disambut mulia oleh baginda dan hal ini bertujuan untuk menyiapkan mereka untuk berkerja pada masa hadapan. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW berbunyi dari Abu Hurairah “Seseorang tergantung agama kawan dekatnya. Oleh karena itu, hendaknya ia memperhatikan siapa yang menjadi kawan dekatnya.” hadith riwayat Tirmidzi dan Abu Dawud.

Begitu juga keperibadian dan kepimpinan seseorang pemuda, ianya dibentuk oleh orang yang digauli, akitiviti yang dilakukan pada masa lapang serta bahan ilmiah mahupun hiburan yang ditelannya setiap hari. Semua itu menjadi darah daging, susuk tubuh para pemuda, baik elok pembentukannya atau sebaliknya.

Pemuda-pemuda yang dibina oleh nabi Muhammad SAW bersemangat dalam menambah nilai dalam diri, mencontohi teladan dari yang lebih berilmu dan arif keperibadian diri serta bergerak kerja dalam membantu masyarakat sekeliling. Mereka bersedia menghadapi cabaran, memikul beban tanggungjawab dan berkhidmat untuk kebajikan masyarakat. Contoh sifat ideal seorang pemuda dinyatakan dalam Al-Quran, apabila Nabi Yusuf AS meminta diberikan jawatan pengurus perbendaharaan hasil bumi agar rakyat sekeliling kawasan kerajaan pada masa itu tidak mati sewaktu kemarau yang berpanjangan. Nabi Yusuf tidak takut untuk tampil kehadapan dan menuntut jawatan tersebut kerana beliau tahu kemampuan dirinya dan bertindak sedemikiannya. Sifat berjuang itu patut dizahirkan pada setiap pemuda hari ini dalam membangkitkan agama, bangsa dan negara.

Marcapada ini fitnah berleluasa pesat dan amat mudah bagi para pemuda ditenggelamkan hidup-hidup dengan penipuan media semasa. Sebagai harapan bangsa, pemuda perlu yakin dan cakna terhadap apa yang dipercayainya. Walaupun dihentam dengan pelbagai idea, buah fikir dan apa-apa ideologi, pemuda harus berpegang teguh dan yakin sepenuh hati terhadap kebenaran yang diimaninya. Sebagaimana yang dinyatakkan dalam kitab suci (Al-Anbiya’:18) digambarkan kebenaran yakni Islam itu menghancurkan kebatilan, begitulah gambaran keyakinan pemuda hari ini terhadap apa yang diperjuangkan. Tanpa keyakinan dan ilmu itu, mana mampu pemuda melawan arus cabaran yang kian mengganas hari demi hari.

Apabila ditinjau kembali sejarah negara, pahlawan-pahlawan dahulu berjuang darah dan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan tanah air sebagaimana nabi dan para sahabat berjuang mengangkat senjata mempertahankan agama dalam perang Badar. Semangat juang tersebut tidak terbatas hanya apabila waktu perang senjata tetapi turut ada sewaktu perang idea, fahaman dan pendirian. Seperti mana Rasulullah SAW berkata kepada para sahabat sebalik pulang dari sebuah perang, perang dengan nafsu sendiri jauh lebih hebat dari perang yang baru selesai. Pemuda perlu ingat firman Allah SWT “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu…”(QS al-Baqrah:214).

Oleh itu, para pemuda perlu bertanya kepada diri sendiri, ke mana hala tuju tindak tanduk mereka? Apa yang diperjuangkan pada zaman muda? Ke mana tenaga pemuda dicurahkan? Setiap persoalan ini harus jelas bagi setiap insan bergelar pemuda, kerana merekalah harapan masa hadapan.

 

ADIB HAFIFI BIN MD SOH
Ketua Jawatankuasa Negeri South Australia,
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *