Pendeta Yahudi Rungkai Rahsia Bebaskan Palestin

Oleh Adli Adnan

Johor Bahru, 2 Feb – Perunding Aman Palestin Berhad, al-Fadhil Ust. Lt. Kol. Nadzri Musman menegaskan bahawa tanggungjawab membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Yahudi Zionis adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia.

“Kita sebagai orang yang beriman tidak boleh tengok sahaja tindakan kejam atau tidak berperikemanusiaan rejim zionis kepada saudara se-Islam kita dan masjid al-Aqsa di Palestin,” jelasnya.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Malaysia itu menyatakan sedemikian dalam kuliah subuh khas bersempena ‘Kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan al-Aqsa’ baru-baru ini. Program ini merupakan anjuran bersama oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Johor Bahru serta agensi-agensinya dan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn.

Beliau juga mengingatkan para hadirin bahawa Palestin merupakan tempat yang bermakna di hati umat Islam.

“Palestin adalah bumi perjuangan umat Islam, tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia yang juga kiblat pertama kita, dan bumi para nabi dan rasul.”

Menurutnya, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Johor Bahru untuk cakna akan usaha membebaskan bumi Palestin yang mulia dan kepentingan solat subuh berjemaah dalam kehidupan seorang mukmin yang sejati.

Tambahnya lagi, seorang pendeta yahudi ada mengungkapkan salah satu rahsia pembebasan Palestin.

“Maka hendaklah kuantiti ahli jemaah solat subuh umat Islam di masjid adalah seperti solat Jumaat, barulah dapat mengalahkan pihak yahudi. Jika tidak, janganlah bermimpi untuk dapatkan kembali bumi Palestin ini”.

Di samping itu, umat Islam juga perlu menjauhkan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti mana peringatan oleh khalifah kedua umat Islam iaitu, Sayyidina Umar al-Khattab r.a. yang juga merupakan pembebas pertama bumi Palestin, “Aku tidak takut pada kekuatan musuh, tapi yang aku takut hanyalah dosa maksiat yang dilakukan oleh umat Islam.”

“Sehubungan itu, umat Islam juga perlu serius dalam hubungan kita dengan Allah SWT, tetapkan keyakinan kita yang jitu hanya kepada Allah SWT dan kembalikan jiwa sejati pemuda dengan istiqamah bersolat subuh berjemaah di rumah Allah SWT.” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *