Pendidikan agama mampu lahirkan profesional Islam cemerlang

Dunia telah mendapat pelbagai faedah hasil dari ilham dan tangan cendekiawan Islam. Bidang perubatan menyaksikan bagaimana sumbangan Az-Zahrawi dalam bidang pembedahan, An-Nafis dalam memahami fisiologi peredaran darah dan ilmuwan Parsi Ibnu Sina yang banyak menulis buku-buku perubatan.

Begitu juga bidang-bidang yang lain seperti kejuruteraan dan matematik yang turut mendapat sentuhan dari ilmuwan Islam seperti Al-Khawarizmi dan Ibnu Haitham. Mereka semua bukan sahaja bijak dalam ilmu duniawi tetapi mereka juga agamawan yang cemerlang dalam memahami Al-Quran. Mereka memahami Al-Quran dan Ad-Deen sebelum memahami ilmu akademik.

Sejak kedatangan penjajah British, sistem sekolah sekular yang mengasingkan antara agama dan pendidikan telah wujud di negara kita. Tidak hairanlah jika subjek agama hanya sekadar menjadi satu pelajaran yang diajar selama beberapa jam sahaja seminggu. Seandainya seorang pelajar ingin belajar lebih dari itu, ia perlu inisiatif sendiri ke kelas-kelas fardhu ain yang diajar selepas waktu sekolah.

Walau bagaimanapun, sekitar 80-an, beberapa institusi pendidikan telah mewujudkan sekolah aliran agama yang menggabungkan antara agama dan akademik. Sekolah seperti ini mendapat sambutan hangat dari ibu bapa yang mahukan kesimbangan di antara pendidikan akademik dan agama.

Pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan agama adalah satu elemen penting pendidikan. Keseimbangan antara ketiga-tiga fakulti insan iaitu aqli, jasmani dan ruhi sahajalah yang boleh memastikan manusia menjadi insan terbaik.

Kita menyaksikan bagaimana adanya mereka yang cemerlang dalam akademik tetapi disebabkan longgarnya hubungan dengan Allah tanpa segan silu melakukan pelbagai jenayah kolar putih seperti menipu, rasuah dan pelbagai lagi kebecatan.

Pada hari ini, sekolah sekolah seperti MRSM ulul albab, sekolah menengah kebangsaan agama dan sekolah sekolah tahfiz integrasi menjadi rebutan ibubapa. Difahamkan bilangan yang datang untuk temuduga MRSM ulul albab sendiri adalah berpuluh kali ganda dari jumlah pengambilan pada satu sesi.

Sekolah-sekolah agama ini membuktikan mereka bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama tetapi mereka juga cemerlang dalam akademik apabila rekod pencapaian dalam peperiksaan PT3 dan SPM sentiasa terkehadapan dalam rekod prestasi negeri dan kebangsaan.

Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa pembelajaran agama menyebabkan seseorang lebih terkebelakang dan ketinggalan dalam banyak perkara. Saya secara peribadi adalah pelajar sekolah aliran biasa dan apabila memasuki MRSM dan menerima kefahaman Islam melipat gandakan usaha dan kesungguhan kerana keyakinan saya bahawa orang yang memahami Islam akan lebih rajin dan amanah terhadap tanggungjawab yang diberi.


Saya menyokong agar kurikulum dinilai semula dan penilaian yang dibuat mestilah memasukkan subjek agama dan moral sebagai intipati kecemerlangan pelajar. Aqidah yang sejahtera, ibadat yang sahih, bermanafaat untuk yang lain, fizikal yang kuat, menjaga masa dan bersungguh-sungguh membuat pekerjaan itulah resepi kejayaan manusia.

Dr. Murizah Mohd Zain
Ketua Wanita ISMA Cawangan Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *