Penduduk Taman Desa Mutiara Johor Kerjasama dengan Isma Dalam Ibadah Korban 1438H

y

Oleh Mohd Khairul B. Ahmad Nordin Tan

Johor Bahru, 2 September – Isma Johor Bahru bersama Yayasan Ikhlas Johor dan Penduduk Taman Desa Mutiara telah berganding bahu di dalam melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha kali ini.

Majlis yang bermula jam 8.30 pagi ini diadakan di perkarangan Surau As Sholawatil Hikmah, Taman Desa Mutiara dengan penyertaan daripada jawatankuasa surau, belia setempat, sukarelawan Yayasan Ikhlas dan ahli-ahli Isma yang turun membantu bagi melancarkan projek korban kali ini.

YDP Isma Johor Bahru, Hj Mohd Tahir berkata, “Projek ini adalah sebahagian daripada program-program Isma yang turut membantu golongan yang kurang berkemampuan melalui agihan daging korban”. “Kerjasama dengan Yayasan Ikhlas juga menjadikan projek ini lebih tersusun dan lancar, tambah beliau lagi”.

Sebanyak 5 ekor lembu telah dikorbankan pada kali ini hasil penyertaan orang ramai yang disalurkan melalui Yayasan Ikhlas dan sumbangan Johor Corporation.

“Program sebegini adalah sangat baik kerana disamping dapat membantu golongan asnaf di kawasan ini, kami juga dapat menggerakkan sukarelawan daripada belia-belia setempat untuk turut sama bergotong-royong dalam perlaksanaan ibadah korban ini,” demikian ujar Saudara Hasbulah Hisham, Pengerusi Persatuan Belia Wawasan Tmn Desa Mutiara.

Hadirin dan para sukarelawan yang telah bertungkus lumus dijamu dengan jamuan makan tengahari dalam majlis yang berakhir kira-kira jam 1 petang ini. Agihan daging korban kepada asnaf dan fakir miskin kemudiannya dilakukan oleh pihak surau melalui kupon agihan yang diberikan lebih awal kepada golongan asnaf.

Adalah diharapkan melalui Projek Ibadah Korban ini, dapat sedikit sebanyak membantu golongan yang memerlukan dan mengereratkan lagi kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *