Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang puji inisiatif I-Medik anjur Simposium Fiqh Perubatan Kanak-Kanak dan Remaja

Oleh Nor Fadilah Hilmi

KUANTAN, 1 Okt. – “Tahniah saya ucapkan kepada Ikatan Pengamal Perubatan Dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang atas penganjuran program yang sangat baik dalam memberi kesedaran kepada masyarakat sekitar isu kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan sentiasa memberi kerjasama kepada badan bukan kerajaan seperti I-Medik untuk meneruskan lagi program-program seperti ini di masa hadapan.

Demikian menurut Pengarah JKNP, Dr Sha’ari Ngadiman sambil memuji inisiatif I-Medik Pahang yang mengangkat “Memahami Perkembangan Anugerah Terindah” sebagai tema bagi Simposium Fiqh Perubatan (SFP) Kanak-Kanak dan Remaja 2017 dalam ucapan perasmiannya di sini semalam.

Menurut Dr Muhammad Faysal Tajuruddin, Pengerusi I-Medik Pahang, antara objektif utama penganjuran simposium ini adalah untuk memupuk kesedaran ibu-bapa serta penjaga akan kepentingan memahami perkembangan kanak-kanak dan remaja agar mereka dapat dibesarkan dalam persekitaran untuk memenuhi keperluan perkembangan fizikal, mental, emosi dan psikologi yang positif.

“Di samping itu juga, SFP 2017 ini diharap dapat menerangkan tentang cabaran pengamal perubatan dan masyarakat pada hari ini yang berhadapan dengan isu penderaan seksual, fizikal, emosi dan mental anak-anak  yang semakin berleluasa di bumi Malaysia ketika ini,” jelas beliau lagi yang juga merangkap Pengarah SFP 2017.

Melalui slot plenari pertama, Penolong Prof. Dr. Asrar Abu Bakar ketika menyampaikan pembentangannya yang bertajuk “Fasa Perkembangan Kanak-Kanak: Apa Yang Ibu-bapa Perlu Tahu” menegaskan bahawa perkembangan awal dari lahir sehingga usia 5 tahun adalah fasa yang paling penting dalam fasa perkembangan kanak-kanak.

“Hal ini menurut beliau, pada usia inilah yang akan menentukan sikap kanak-kanak ini apabila mereka membesar kelak,”  ujar beliau yang merupakan Pakar Perubatan Paediatrik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain itu, Profesor Madya Dr Azizah Othman, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula menekankan betapa pentingnya interaksi antara ibu bapa dan anak-anak dalam membentuk sikap positif dalam diri anak-anak tersebut.

The best toys for children are their parents’ voice. Jika ‘basic trust’ anak-anak tidak berkembang dengan baik pada peringkat awal sejak mereka lahir, mereka akan menjadi remaja yang sukar mempercayai orang lain, termasuk ibu-bapa mereka,” terang beliau ketika menyampaikan pembentangan yang bertajuk “Perkembangan Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja”.

Selain perkembangan fizikal dan psikologi, SFP 2017 turut membincangkan gangguan perkembangan neuro kanak-kanak seperti autism, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran yang disampaikan oleh Dr Rozanizam Zakaria, Pakar Psikiatrik UIAM.

Seterusnya, Ustaz Dr Kamarudin Awang Mat, Pensyarah Universiti Zainal Abidin (UNIZA) dalam pembentangan bertajuk “Kepentingan Memelihara Nasab; Isu Anak Luar Nikah, Bank Susu dan Bayi Tabung Uji” menjelaskan bahawa memelihara nasab adalah satu kewajipan dan sebarang tindakan yang boleh mencelarukan susun galur nasab hendaklah dilaksanakan dalam syarat-syarat yang ketat dan berpandukan syariat Islam.

Menarik di dalam SFP 2017 juga adalah Slot Demonstrasi Bantuan Kecemasan Bayi yang menampilkan Dr Syafaf Jumiran, Bendahari I-Medik Pahang bagi menunjukkan langkah-langkah asas yang boleh dilakukan oleh para penjaga apabila berlaku kecemasan seperti bayi tersedak susu, sawan mahupun luka kecederaan di rumah dan pusat asuhan.

Kemuncak kepada SFP 2017 adalah sesi Forum bertajuk “Membina Generasi Z dan Alpha“ yang dikendalikan oleh Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim, Setiausaha I-Medik Pahang.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naik Presiden I-Medik selaku panel pertama forum menegaskan bahawa pentingnya ibu-bapa tidak mengabaikan tanggungjawab asasi mereka dalam mendidik anak-anak dalam kesibukan mereka bekerja.

“Kita perlu kembali mengukuhkan institusi kekeluargaan dalam mendepani cabaran realiti anak-anak pada hari ini,” ujar beliau lagi.

Ustaz Norman Mohd Nor, panel forum kedua yang merupakan Pengerusi Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) Pahang pula menekankan tentang kepentingan solat dalam pendidikan anak-anak untuk menerapkan disiplin dalam membina anak yang cemerlang.

Beliau yang juga merupakan pendidik di Kolej Vokasional Kuantan menambah, walaupun mungkin anak-anak ini tidak cemerlang dalam bidang akademik, dengan disiplin dan akhlak yang baik, potensi pelajar tersebut dapat dikembangkan untuk manfaat kepada ummah.

Dalam pada itu, salah seorang peserta SFP 2017, Normariati Mahmud, berasa amat teruja kerana berpeluang untuk mengikuti simposium yang diadakan pada kali ini.

“Simposium hari ini amat bagus kerana menyedarkan kepada kita tentang bagaimana cara untuk mendidik anak dengan lebih mendalam sejak mereka lahir lagi,” kata Normariati yang merupakan Jururawat Klinik Kesihatan Daerah Bera ketika ditemui wartawan.

“Saya rasa berpuas hati kerana slot yang disampaikan berkait rapat dengan bidang pekerjaan saya sebagai jururawat, terutamanya tentang isu anti vaksin.

“Simposium ini telah memberikan idea kepada saya bagaimana cara untuk saya menerangkan kepada mereka yang anti vaksin di luar sana tentang kepentingan vaksin kepada kanak-kanak,” jelas Norhayati Abu Bakar, yang juga merupakan Jururawat Klinik Kesihatan Daerah Bera berkenaan Slot Plenari bertajuk “Dilema Vaksinisasi dari Perspektif Islam dan Perubatan” yang disampaikan oleh Prof. Dr Azizi Ayob, Professor Farmakologi, International Medical University (IMU).

Melalui penganjuran SFP 2017 ini, I-Medik Pahang telah berjaya menarik hampir 300 peserta ke SFP yang diadakan di Auditorium Utama, Kuliah Perubatan UIAM Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *