Pengesanan Awal Mampu Cegah Kanser Payudara

Oleh: Nafisah Hamidon

Alor Gajah, 26 Feb – Kanser payudara yang merupakan pembunuh wanita nombor satu di Malaysia mampu dicegah dengan pengesanan awal.

” Pengesanan awal boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan dan Mamogram di hospital sekurang-kurangnya setahun sekali.”

Timbalan Ketua Wanita cawangan Isma Alor Gajah, Dr. Siti Nurhayati Adznan berkata demikian semasa Usrah Wanita di Surau An-Nur, Rumah Awam Sungai Petai semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa disebabkan kos rawatan kanser payudara sangat tinggi, kerajaan telah menyediakan banyak program-program pencegahan awal. Antaranya, sejak 2007 kerajaan memberikan subsidi berdasarkan pendapatan seisi rumah melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk melakukan Mamogram di mana-mana hospital terpilih. Perkhidmatan bas turut disediakan untuk membawa para pemohon ke hospital berkenaan.

Dr Siti Nurhayati turut menggalakkan semua kaum wanita terutamanya golongan yang berisiko untuk lebih cakna dengan kesihatan diri dan melaksanakan pencegahan awal.

“Banyak ayat Al-Quran yang menunjukkan betapa Islam sangat mementingkan kesihatan. Apabila kita mengambil pengajaran dari ceramah kesihatan dan melakukan apa-apa bentuk pencegahan, sebenarnya kita sedang menjaga hak sebahagian daripada amanah yang Allah telah berikan”, jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *