Penyakit hati beri kesan negatif jika tidak dirawat dengan segera

oleh Norlia binti Salleh

KOTA SAMARAHAN, 26 Feb – “Penyakit kronik yang ada pada diri kita, boleh membahayakan kesihatan. Tetapi, penyakit hati secara rohani adalah lebih dahsyat akibatnya jika tidak diberi penawar dengan segera,” kata Dr Asmah Esa, dalam ceramahnya yang bertajuk ‘Sihat Di dalam Cantik Di luar’ yang telah diadakan di Masjid Desa Ilmu, Kota Samarahan baru-baru ini.

Jelasnya lagi, terdapat banyak penyakit hati yang boleh memberikan kesan negatif dalam kehidupan seseorang. Antaranya adalah sombong, riyak, hasad dengki, bakhil dan ujub. Penyakit hati ini, jika tidak dirawat dalam keadaan segera, pasti akan memberikan kesan buruk kepada tuan badan.

“Oleh yang demikian, terdapat cara untuk merawat penyakit hati ini iaitu dengan membaca Al Quran dan maknanya, mendirikan solat malam (qiamulail), berkumpul bersama orang-orang soleh, memperbanyakkan puasa sunat dan memperbanyakkan zikir. Dengan melakukan hal ini, penyakit hati dapat dirawat disamping menambah pahala pada si pelaku,” katanya.

Dalam ceramah anjuran Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Samarahan itu juga menyentuh tentang penyakit kronik yang seringkali dihidapi oleh masyarakat sekarang. Antaranya adalah darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Bagi mengelakkan penyakit-penyakit kronik ini, hadirin yang hadir dinasihatkan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat serta tidak lupa untuk bersenam bagi mengeluarkan peluh.

Turut hadir pada ceramah itu adalah Noor Nabilah Huda binti Tajudin, Setiausaha Biro Wanita Isma Samarahan dan Ustazah Nuraini binti Mohd Salleh, Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat Isma Samarahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *