Peperangan zaman moden

Suatu masa dahulu, penaklukan Islam telah sampai sehingga ke pengakhiran barat, di mana ketika itu Uqbah bin Nafi’ di persisiran Pantai Lautan Atlantik berkata, “ Ya Allah, Ya Tuhanku. Ya tuhan Muhammad! Kalau tidak adanya lautan ini, nescaya aku akan menakluki dunia untuk meninggikan kalimatMu, Ya Allah, saksikanlah!!!. Islam ketika itu bersinar dan makin bergemerlapan sinarannya. Para Sahabat yang mendapat tarbiyah secara terus daripada Rasulullah sangat bersemangat untuk menyalakan obor kebenarannya di segenap pelusuk dunia.

Masa terus berlalu, ‘sunnah kauniyyah’ (ketetapan yg ditakdirkan Allah) juga pasti berlaku. Musuh tidak akan senang dengan cahaya itu. Mereka tidak jemu menyalakan percikan api fitnah hinggalah terjadinya gelombang ganas bagi memadam gemilangnya cahaya Islam itu. Sehingga kini, Negara-negara Arab Islam ditindas dan dizalimi dengan senjata zahir. Manakala disebahagian negara lain pula, perang saraf terus menikam jiwa ummah.

Sistem demokrasi liberal dicipta, disusun, dan dipercantikkan manakala pada waktu yang sama Ilmu Siyasah Islam dinafikan agar umat Islam dan yang bukan Islam tidak nampak keindahannya dan terus terjerumus ke lembah kegelapan. Tanpa disedari, strategi penjajahan baru barat di dunia Islam ini diterima atas dasar hak asasi manusia, bahkan mereka lupa pada Sang Pencipta manusia dan panduan dariNya.

Islam dipermainkan

Di dalam buku bertajuk ‘Civil Democratic Islam: Partner, Resources and Strategies’ karangan Cheryl Benard, seorang penyelidik ‘Researh and Development’ tajaan Amerika atau nama lainnya ‘RAND Corporation’ dengan jelas menyatakan musuh utama dunia pasca perang dingin ini adalah Islam. Beliau mengklasifikasikan umat Islam kepada 4 golongan dimana perbezaan golongan ini bergantung kepada pemikiran umat Islam tersebut dan menyusun strategi untuk menghadapi dan mempergunakan mereka.

Golongan pertama: Fundamentalis, iaitu mereka yang menolak demorasi, hak asasi manusia dan seluruh nilai-nilai barat. Strategi untuk berhadapan dengan golongan ini adalah dengan menganggap mereka sebagai musuh yang Amerika tidak boleh bertolak ansur dengannya. Secara khusus golongan ini merujuk kepada gerakan Islam yang menolak terus nilai-nilai barat seperti demokrasi dan sebaliknya berusaha kearah penegakan khilafah Islam yang dikatakan bertentangan dengan ideologi barat.

Golongan kedua: Tradisionalis, iaitu mereka yang lebih menumpukan kepada soal-soal kerohanian dan keilmuan seperti yang ditulis oleh Benard. Mereka adalah Wahabi, Al-Ahbash dan ulama-ulama yg lebih cenderung membahaskan ilmu agama berbanding politik. Benard mencadangkan golongan ini digunakan untuk menyerang pandangan Fundamentalis. Tradisionalis mesti diberi ruang untuk mengalihkan pandangan umat dan menimbulkan keraguan umat. Golongan Tradisionalis biasanya mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan umat Islam kerana mereka menguasai madrasah-madrasah dan institusi pendidikan tradisional Islam.

Golongan ketiga: Modenis, iaitu mereka yang mahu melihat Islam menjadi sebahagian dari kemajuan global dan atas dasar itu, mereka berusaha memberi nafas Islam kepada nilai barat seperti demokrasi, hak asasi manusia, ekonomi dan lain-lain walhal semua itu tidak selari dengan apa yang ingin Islam bawa kepada umat sejagat.

Golongan keempat: Sekularis, iaitu mereka yang memisahkan agama dengan negara dan telah mengikut acuan barat termasuklah pemerintah dalam kalangan umat Islam sedia ada serta tokoh pemikir mereka. Dalam laporan yang disediakan, Benard menegaskan bahawa sokongan yang sekian lama diberikan kepada golongan sekularis (pemerintah) bukan lagi tindakan tepat di dalam geopolitik hari ini. Ini kerana, kebanyakan orang Islam telah menyedari cara dan kaedah bertindak oleh golongan ini dan mereka tidak lagi dijadikan ikon politik mahupun agama. Bagi Benard, diantara Modenis dan Sekularis , beliau lebih cenderung untuk mencadangkan Amerika supaya menyokong modenis.

Lahirnya Muslim Moderat
Golongan Modenis adalah rakan terbaik untuk Amerika mempromosikan demokrasi ala barat dalam dunia Islam. Benard mencadangkan agar Amerika memberikan sokongan yang kuat kepada golongan muslim di dalam kategori Modenis. Mereka akan diberi peluang untuk muncul di dada-dada akhbar, arena politik, memberikan pendapat, dan ruang-ruang lain melalui NGO.

Modenis Islam ini akan diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh pelbagai badan-badan Amerika. Menurut Benard, mereka akan diberikan peluang untuk bergerak walaupun akan mendapat tekanan daripada golongan Sekularis.

Akhirnya, inilah fokus mereka iaitu menentang golongan Fundamentalis dengan penuh semangat dengan cara menyerang kelemahan di dalam ideologi Islam yang di fahami oleh golongan Fundamentalis seperti mendedahkan berat sebelah, kezaliman dan ketidak mampuan golongan ini untuk memimpin dan memerintah.

Hilangnya agenda bersama
Demokrasi liberal sebenarnya merupakan senjata Yahudi dan barat untuk menjamin bahawa mereka akan terus dapat menguasai politik dunia termasuklah dunia Islam. Agenda tersembunyi mereka adalah untuk mengajak orang Islam untuk menolak peranan tuhan dan agama di dalam kehidupan. Ketiadaan agenda bersama dalam kalangan umat islam ini adalah peluang terbuka untuk arus minoriti ini iaitu Modenis semakin kuat dan semakin sukar untuk dinafikan.

Peranan Duat dalam menghidupkan umat terbaik
Muhammad Qutb rahimahullah di dalam bukunya, ‘Syubhat Haula Islam’ menyatakan tidak wujud sebarang jalan penyelesaian melainkan hanya satu iaitu Iman. Kita tidak akan mampu berhadapan dengan serangan ini melainkan dengan menyuburkan iman kita terlebih dahulu.

Kedatangan Islam yang di bawa oleh susuk pahlawan Nabi Muhammad S.A.W yang berjaya tumbuh dengan mekar sedangkan ketika itu Empayar Rom dan Empayar Parsi amat menggila pembangunannya di kanan dan kiri Tanah Arab terasa seperti khayalan. Tetapi ketahuilah bahawa inilah indahnya mukjizat daripada Allah, tuhan sekalian alam. Tumbuhnya Islam ketika itu bukan biasa-biasa, bahkan merimbun menyuburkan 2/3 dunia. Inilah peranan iman dan ruh maknawi.

Saidina Umar R.A pernah berkata, “Kita adalah kaum yang telah dimuliakan Allah dengan Islam, maka selama mana kita menginginkan kemuliaan dengan selain Islam, nescaya kita akan dihinakan Allah”.

Kami di Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sedar akan kegerunan dan kedahsyatan peperangan masa kini. Justeru ayuh bersama ISMA bagi membangkitkan hati-hati umat ini yang sedang dibuai lena ini, agar satu hari nanti kita akan kembali hebat sebagaimana Kerajaan Islam satu masa dahulu. InsyaAllah.

dsc_0752-535x800

 

 

 

 

Ustazah Madihah bt Ahmad
BA(Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar, Kaherah
Aktivis ISMA Kuala pilah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *