Peranan isteri menghadapi GST

ustazah nora

Seorang isteri yang baik akan berusaha untuk mencari keredhaan Allah dengan mentaati suaminya. Bukan sekadar menjaga anak-anak, menyediakan makanan dan melihat perkembangan pendidikan mereka, tetapi peranan isteri termasuk juga dalam menguruskan harta sendiri dan harta suami.

Rasulullah SAW bersabda, “ Tiada perkara yang paling bernilai pada seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertakwa kepada Allah selain isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, pasti dia mentaati. Sekiranya suami memandangnya, dia pasti menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, dia pasti memenuhi sumpah suaminya. Apabila suami bekerja atau berjuang, pasti dia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakanya. ( Riwayat Ibnu Majah )

Wanita itu diberi keinginan yang banyak. Dia suka kepada perhiasan-perhiasan seperti barang kemas, perabot yang cantik, pakaian yang indah dan banyak lagi. Inilah fitrah yang telah Allah berikan kepada wanita. Dengan fitrah inilah isteri dapat memelihara dan membelai anak dan suami.

Fitrah untuk menyediakan pelbagai makanan yang lazat, menyediakan pakaian yang cantik untuk suami dan anak-anak. Justeru inilah juga di antara faktor yang menjamin kedamaian dan ketenangan di dalam mengharungi bahtera rumah tangga.  Tetapi persoalannya, adakah semua keinginan ini perlu dipenuhi?  

Isteri yang solehah, bukan sekadar mengetahui hukum-hakam agama sahaja, tetapi mereka perlulah mengetahui isu semasa yang berkaitan hal ehwal pengurusan kewangan , supaya perbelanjaan rumah dan harta mereka boleh diwakafkan untuk umat Islam secara keseluruhannya.

Apakah wajar seorang isteri membelanjakan harta suaminya atau wangnya sendiri semata-mata untuk memenuhi keinginannya. Dengan alasan “ Kita dah penat bekerja, bila lagi nak enjoy“. Tabiat wanita yang suka meminta dan boros dalam berbelanja ini, akan menjadi parah apabila perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula.

Yang pastinya “Goods and Service Tax“ atau cukai barangan dan perkhidmatan ini akan tetap dilaksanakan. Konsep cukai penggunaan (consumption tax) seperti GST adalah semakin banyak anda membeli barang atau menggunakan perkhidmatan semakin banyak cukai yang perlu dibayar. Ini bermakna kita boleh mengawal perbelanjaan secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka yang berpendapatan rendah yang hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka.

Sama ada kita suka atau membantah, perlaksanaan GST ini tetap akan dilaksanakan. Namun kita sebagai isteri yang sentiasa mencari keredhaan Allah perlu berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menguruskan kewangan dengan baik.

gst

Justeru itu, ilmu dan iman merupakan paksi utama dalam bidang pengurusan. Agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya. Pertama- Dharuriyat iaitu keperluan mendesak, kedua- al-Hajiyat iaitu keperluan yang dihajati, ketiga- al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik. Dan yang keempat- al-Kamaliyat iaitu keperluan yang lengkap. Dalam pengurusan hidup kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriyat. Menurut Imam as-Syatibi, al-Dharuriyat adalah sesuatu yang harus dilaksanakan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan di akhirat.

Namun segolongan isteri atau wanita , gemar untuk melaksanakan tahsiniyat dengan membeli tudung yang pelbagai jenis dan “ style “ , perhiasan pada tudung sahaja hampir mencecah ratusan ringgit. Itu tidak termasuk kekerapan makan di luar seperti McDonald, KFC dan kedai–kedai mamak yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Perkembangan kedai makan dan barang-barang perhiasan ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengguna, khususnya kaum wanita.

Sesungguhnya orang yang suka membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsunya. Firman Allah di dalam surah al-Israk ayat 27 :

Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas mentafsirkan ayat ini bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau menggunakan harta bukan pada tempat yang sebenarnya. Begitu juga pandangan  Imam Syafei  bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Justeru itu, para isteri perlulah merancang perbelanjaan dengan rapi agar masalah kewangan ini tidak menjejaskan perjalanan hidup kita dimasa akan datang. Cadangan pengurangan dengan cara:

Pertama: Membeli barang keperluan asas rumah dua kali sahaja dalam tempoh sebulan agar tidak kerap untuk keluar membeli-belah. Maklum sajalah “Bila tengok banyak yang berkenan“.

Kedua: Menyediakan senarai barang untuk dibeli agar kita dapat menjimatkan masa dan mengurangkan pembelian yang tidak termasuk di dalam senarai asal kita.

Ketiga:   Kurangkan membawa anak kecil semasa membeli barang keperluan bulanan. Ini bertujuan mengelakkan permintaan tambahan daripada anak-anak kita semasa membeli-belah yang kita cuba penuhi sedangkan kita sepatutnya mula mengajar mereka tentang cara perbelanjaan sejak kecil, dengan alasan yang logik seperti “Permainan di rumah sudah ada”, “Makanan ini tidak bagus kerana banyak pewarna ,nanti boleh jadi tak pandai” dan pelbagai alasan yang mudah untuk kita terapkan dari seawal anak berusia empat tahun.

Sesungguhnya Rasulullah merupakan qudwah umat Islam. Rasulullah tidak suka melakukan pembaziran. Dalam penjimatan penggunaan sumber tenaga, Rasulullah SAW menyeru umat Islam supaya tidak membazir dalam pengambilan wudu’ atau air sembahyang. Rasulullah SAW bersabda kepada Saad bin Abi Waqqas  RA ketika beliau berwudu’:

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘As bahawa Rasulullah SAW lalu berdekatan Saad yang sedang berwudhuk. Sabda Baginda: Pembaziran jenis apakah ini, wahai Saad? Maka Saad berkata: Dalam wuduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW menjawab: Ya, walaupun kamu berwuduk dalam sungai yang sedang mengalir . ” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad).

Dalam penjimatan penggunaan elektrik, kita mesti bertegas dengan anak-anak supaya mereka juga memastikan lampu dan kipas ditutup setelah digunakan. Penggunaan alat pendingin hawa yang tidak terkawal merupakan punca kepada pembaziran elekrik. Kita sebagai ibu perlu menunjukkan bil-bil rumah kepada anak yang telah dewasa supaya mereka berasa ihsan terhadap kewangan ibu bapa mereka.

Selain itu, marilah kita sama-sama merenung kembali ciri-ciri isteri solehah iaitu tidak meminta-minta. Sebaliknya menerima seadanya pemberian suami.

Rasullah SAW pernah bersabda.

“..Kebanyakan ahli neraka adalah wanita“ Rasulullah ditanya, “Mengapa ya Rasulullah? “Lantas Baginda menjawab, wanita yang tidak tahu mengenang budi suaminya dan mengkufuri ihsan suaminya. Sekiranya engkau melakukan seberapa banyak kebaikan sekalipun kepadanya, nescaya dia tidak akan pernah berasa cukup. “ (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, jadilah kita pengguna yang mengetahui hak kita dan menggunakannya sebaik yang mungkin. Jatuh bangun ekonomi umat Islam terletak ditangan umat Islam itu sendiri.

Ayuh  “Belilah barangan buatan Muslim.” Anda Mampu Mengubahnya.

 

Ustazah Norakhilah Bt Baharin

Biro Tarbiyah Cawangan ISMA Seri Iskandar.