Percaya dan tawakal sumber kekuatan pasukan bola jaring Isma Kuala Lumpur

Oleh : Nor Syamimi Musa

14 April, Puchong – Pasukan Bola Jaring Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (Isma KL) meraih kemenangan bergaya dalam pertandingan bola jaring kategori dewasa di Karnival Sukan Mahabbah anjuran Isma Subang Jaya.

Pasukan Isma KL di depan dengan markah penuh setelah menumpaskan pasukan TPP NP, Isma USJ dan Pu3 Netballerz dengan keputusan 5-2, 8-1 dan 10-6.

Pasukan ini juga telah menjadi johan semasa Karnival Sukan Isma (KERIS) tahun lalu. Walaupun kali ini mereka hanya sempat berlatih pada seminggu terakhir sebelum pertandingan, ternyata pasukan ini masih belum hilang bisa.

Pengurus pasukan yang juga salah seorang pemain, Rawaidah binti Shobri ketika ditanya berkenaan rahsia kejayaan kumpulan ini berkata, “Kekuatan pasukan kami ialah tawakal dan semangat kerja dalam kumpulan yang utuh. Setiap pemain bersungguh-sungguh ingin membuktikan bahawa sukan ini ialah aktiviti yang bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan ukhuwah dan rohani.

“Akhirnya, tujuan kami menyertai pertandingan ini bukan saja untuk menang tetapi untuk memastikan wanita Isma KL mengekalkan kecergasan dan stamina yang tinggi,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *