Perjanjian Waitangi – Pengajaran dari bumi Kiwi

Perjanjian yang ditandatangani pada 6 Februari 1840 oleh pihak British (Royal Family) dan wakil-wakil puak Maori (penduduk asal New Zealand) ini bertujuan mencapai keamanan di antara kedua-dua belah pihak daripada terus berbalah. Puak Maori pada asalnya memiliki tanah-tanah yang terdapat di bumi Kiwi sebelum tanah-tanah tersebut menjadi rebutan pihak British.

Persengketaan 71 tahun yang bermula sejak ketibaan Captain James Cook di New Zealand pada tahun 1769 ini akhirnya disudahi dengan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk capai kata sepakat dengan menandatangani sebuah perjanjian yang dipanggil Treaty of Waitangi.

Antara intipati daripada perjanjian ini adalah pihak British (Royal Family) diiktiraf sebagai pentadbir New Zealand dengan pulangan perlindungan kepada penduduk asal New Zealand (puak Maori).

Sekilas pandang, memang benar keamanan dapat dikecapi sejurus selepas kesepakatan ini dipersetujui. Tetapi, bagaimanakah mampu kita membenarkan orang asing mengambil alih hak milik kita yang mutlak? Apakah nasib yang bakal menimpa cucu-cicit kita? Apakah yang kita tinggalkan buat mereka?

Pertama kali mendengar tentang perjanjian ini, saya tertanya-tanya, apakah sebab yang kukuh untuk mereka bersetuju? Atau mungkin kerana kelengkapan persenjataan yang jauh terkebelakang yang menyebabkan mereka terpaksa akur? Walau apa pun kebarangkaliannya, teramatlah rugi sekiranya kita tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Pengajaran Buat Malaysia
Ada beberapa persamaan diantara permulaan sejarah Malaysia dan New Zealand di mana terdapat satu bangsa asal di kedua-dua lokasi dan turut didatangi oleh British. Oleh itu, mari kita ambil pengajaran dari sejarah bumi Kiwi ini.

Pertama sekali, sebagai seorang muslim, kita perlu sedar bahawa tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini adalah sebagai khalifah, iaitu memakmur dan mentadbir bumi kepunyaan Allah ini walau dengan apa cara sekali dengan berlandaskan syariat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah:

وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ

Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah. Berkata mereka : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalam nya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau ? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah: 30)

Apabila tersedar seseorang Muslim akan tugasnya sebagai seorang khalifah, mentadbir dan memakmurkan bumi kepunyaan Allah ini menurut neraca Islam, saya yakin bahawa tidak akan sesekali tanah hak miliknya akan diserahkan kepada pihak lain yang nyata kekufurannya terhadap Allah.

Kedua, kita mestilah menghargai pengorbanan nenek moyang kita yang berani bergadai nyawa demi membebaskan tanah air daripada berterusan dijajah, berjuang bermati-matian mempertahankan agama yang mulia ini daripada dicabul akibat dijajah.

Sanggupkah kita menamatkan siri perjuangan mereka yang berabad lamanya daripada generasi ke generasi? Bak kata pepatah, biar putih tulang jangan putih mata. Yakinlah bahawa Allah akan membantu kamu jika kamu membantu menegakkan agama-Nya yang suci ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Ketiga, kita haruslah memikirkan kesan jangka panjang sebelum membuat sesuatu keputusan kerana kelak yang bakal terkena tempias daripada kesilapan kita membuat keputusan adalah cucu-cicit kita sendiri. Jangan dijadikan hawa nafsu keduniaan sebagai hala tuju utama didalam neraca pemikiran yang terhad ini kerana besar natijahnya pada diri dan orang lain pada masa akan datang kerana mereka yang menurut hawa nafsu adalah golongan yang ditutup mata hatinya oleh Allah.

وَمِنْهُمْ مَنْ يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ حَتَّىٰ إِذَا خَرَجُوا مِنْ عِنْدِكَ قَالُوا لِلَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مَاذَا قَالَ آنِفًا ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ

Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): “Apakah yang dikatakannya tadi?” Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. (Muhammad: 16)

Hasil daripada pengajaran-pengajaran diatas, tertimbul suatu persoalan di benak hati. Adakah Malaysia benar-benar tidak diancam dengan penjajahan pada masa kini walaupun tidak secara mutlak?

Pada 4 Februari 2016, di Sky City, Auckland, New Zealand, sebuah perjanjian yang dipanggil Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) telah ditandatangani oleh 12 buah negara termasuk Malaysia tanpa menghiraukan majoriti suara rakyat yang membantah telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Dengan tahap persaingan ekonomi yang tinggi dan tahap ekonomi khususnya di Malaysia pada masa kini yang kian meruncing, bagaimanakah nasib generasi akan datang? Melalui perjanjian ini, Malaysia lebih berpotensi untuk dijajah oleh multinational corporation dari negara-negara luar yang lebih kuat daya saingnya. Apakah tidak diambil kira pengajaran-pengajaran yang telah dinyatakan?

Tepuk dada tanya iman.

Muhaimin Badarisam
Ketua Penerangan Isma New Zealand

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *