Perjuangan Malaysia Negara Islam bukti kesempurnaan Kalimah Syahadah

Oleh: Dr Anas Ghazali

Kalimah Syahadah. Dua kalimah yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sejak berkurun lamanya. Kalimah yang akhirnya telah mengubah lanskap pemerintahan Tanah Arab sejak kali pertama Rasulullah S.AW berdakwah menyebarkan kefahaman kalimah tersebut. Musyrikin Quraisy amat membenci kalimah tersebut. Mengapa? Bukankah ianya hanyalah dua kalimah yang boleh diucapkan oleh sesiapa sahaja? Namun kehebatan Kafir Quraisy ketika itu dalam memahami Bahasa Arab menyebabkan mereka sama sekali tidak mahu kalimah tersebut tersebar ke pelusuk Tanah Arab. Hebat sangatkah kalimah tersebut?

أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَــــهَ إِلَّا اللهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

“Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah.”

Kafir Quraisy tidak hanya memahami kalimah ini pada luarannya sahaja, bahkan mereka memahami bahawa kalimah ini akan mengubah kehidupan mereka 180 darjah jika mereka beriman dengan Kalimah Syahadah yang agung ini. Kehidupan mereka ketika itu bergelumang dengan pelbagai maksiat, bertuhankan hawa nafsu. Mereka mengejar harta, pangkat dan wanita. Namun Kalimah Syahadah akan menukar segala kepercayaan mereka selama ini. Mereka sama sekali perlu membuang segala jahiliah yang mereka lakukan dan meletakkan kekuasaan atau ‘Hakimiyah’ itu hanyalah kepada Allah semata-mata. Mereka tidak lagi boleh berfoya-foya, menuruti kehendak masing-masing mengikut apa yang mereka suka, dan menolak apa yang mereka benci tanpa berpandukan syariat yang digariskan oleh Allah S.W.T.

Dua Kalimah Syahadah inilah yang akhirnya menyaksikan kebangkitan Islam sehingga para sahabat berjuang dengan nyawa dan darah mereka demi menyaksikan Islam ini tertegak di seluruh pelusuk dunia. Mereka tidak berpada dengan kalimah itu hanya meniti dibibir tanpa tindakan yang membuktikan penyaksian mereka. Sirah Rasulullah dan para sahabat tercatat pelbagai kisah perjuangan mereka menuju syahid di jalan Allah S.W.T semata-mata ingin melihat kalimah ini tertegak dengan maksud yang sebenar.

Namun kita pada hari ini semakin leka dan ada yang terus lena dibuai kenikmatan dunia yang sementara. Selesa dengan kehidupan yang sedia ada, bangun tidur, mandi, sarapan, bekerja, pulang, makan, melihat siaran televisyen dan masuk tidur. Rutin harian ini berulang setiap hari tanpa kita sedari bahawa di sana ada tanggungjawab yang besar yang perlu kita laksanakan. Kalimah Syahadah yang kita lafazakan setiap kali solat menuntut agar kita berjuang demi mengembalikan kegemilangan Islam di atas muka bumi ini. Kita perlu sedar bahawa kalimah ini tidak sempurna tanpa kita beriman bahawa kita perlu mendirikan Negara Islam demi mencapai maksud kekuasaan itu adalah hak mutlak Allah S.W.T.

Inilah yang ditakuti oleh Barat dan orang kafir. Mereka sama seperti Kafir Quraisy, tidak mahu kehilangan tuhan nafsu mereka. Maka kerana itu mereka cuba sedaya upaya menolak tertubuhnya Negara Islam kerana mereka tahu perkara tersebut akan mencabut segala hawa nafsu yang mereka imani ketika ini.

Bangkitlah wahai umat Islam terutama Bangsa Melayu di Malaysia. Tugas kita semakin hari semakin bertambah, kita tidak mampu bergerak sendirian. Penegakan Negara Islam memerlukan satu kerjasama antara kita semua. Cukup-cukuplah berbalah dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah. Selagi mana Negara Islam tidak tertegak dengan sempurna, selagi itu setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab di bahu masing-masing demi memastikan negara kita Malaysia menjadi sebuah Negara Islam yang sempurna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *