Perkasakan kembali peranan wanita di rumah – Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim

Slogan ini bukanlah bermaksud wanita hanya diperlukan untuk duduk di rumah dan bergelumang dengan kerja-kerja rumah, namun ia adalah slogan yang ingin mengangkat kembali peranan wanita sebagai Pengurus Rumah Tangga.

Tidak kira wanita bekerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa, peranan di rumah tidak akan berbeza. Slogan ini juga tidak bermaksud kita berpatah balik ke belakang, di saat wanita semakin maju di semua bidang, kita seru mereka kembali duduk di rumah.

Bukan begitu maksudnya.

Hakikatnya, prioriti wanita sebagai pendidik utama anak-anak tidak akan boleh dinafikan. Kita kerah tenaga, masa, idea, emosi mereka di tempat kerja, dan hanya sisa-sisa yang diberikan kepada anak-anak.

Kita raikan kejayaan mereka di luar rumah dengan kenaikan gaji, pangkat, jawatan, anugerah demi anugerah. Namun sumbangan mereka dalam kemenjadian generasi, sering dipandang sepi.

Kita hantar mereka ke kursus-kursus pengurusan pejabat, dokumen, menyuarat, syarikat, organisasi, tetapi berapa ramai wanita yang sekurang-kurangnya mempunyai sijil pendidikan anak-anak dan pengurusan rumah tangga?

Wanita seharusnya dilengkapi dengan segala persediaan, ilmu dan kemahiran, serta sistem sokongan yang terbaik agar mampu menjadi pendidik generasi harapan ummah. Perjuangan di luar adalah tidak bermakna apabila rumah tangga dan anak-anak menjadi korban.

Semoga usaha Wanita ISMA untuk memperkasakan wanita agar mampu memainkan peranannya yang hakiki di samping tuntutan kerjaya, ekonomi dan keinginan peribadi bermanfaat kepada masyarakat.

 

Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim

Naib Ketua Wanita

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Cawangan Kuantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *