Perkukuh Hubungan Kekeluargaan Menjamin Kesihatan Mental Anak-Anak

Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan laporan seorang pelajar perempuan di Johor Bahru yang berusia 10 tahun yang berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari terjun bangunan kerana ingin membunuh diri. Kejadian tersebut yang berpunca daripada konflik pelajar tersebut dengan ibunya, dipercayai mengenai telefon bimbit.

Pada bulan Ogos tahun ini juga, seorang pelajar berumur 13 tahun telah menggantung dirinya di dalam bilik air di rumahnya sebelum dijumpai oleh bapa mangsa sendiri. Kedua-dua kes ini sudah tentunya menimbulkan pertanyaan, adakah golongan kanak-kanak dan remaja juga boleh menghidap tekanan mental?

Secara psikologinya, anak-anak yang menginjak umur 10-12 tahun sudah mula berada di tahap mencari identiti diri dan menghampiri kematangan tertentu. Fasa ini juga dikenali sebagai fasa pre-puberty atau pra-remaja, di mana mereka melalui konflik emosi dan fizikal yang semakin berkembang. Kanak-kanak usia ini juga senang dipengaruhi rakan-rakan dan mempunyai ‘mood swing’.

Dalam Program Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi tahun 2015, didapati lebih kurang 1 dalam 10 orang yang berumur 10 – 14 tahun mengalami masalah mental. Antara masalah kesihatan mental yang sering dialami oleh kanak-kanak adalah masalah pembelajaran seperti dysleksia, autisme dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif(Attention Deficit Hyperactivity Disorder – ADHD) selain masalah kemurungan dan anxiety yang berpunca daripada kes buli dan kurang berminat untuk belajar.

Namun sebenarnya, hubungan kekeluargaan yang erat mampu mencegah anak-anak daripada tekanan mental dan tindakan melulu. Dalam kes yang pertama misalnya, walaupun tidak dinyatakan sebab pelajar tersebut tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit, jika hubungan sesebuah keluarga rapat, segala permasalahan boleh diatasi dengan cara yg baik.

Kadangkala ibu bapa suka melabel anak dengan ‘degil’, ‘tidak mendengar kata’ dan sebagainya, namun sedarkah ibu bapa anak-anak yang hatinya tidak terikat dengan kasih sayang yang erat cenderung untuk memberontak dan sukar dinasihati? Oleh itu, sewajarnya para ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memberikan perhatian kepada setiap orang anak sesuai dengan keperluan masing-masing.

Ini dapat memupuk sifat kasih sayang, keyakinan diri dan ketahanan mental yang kuat di kalangan anak-anak sejak kecil. Kesannya boleh dilihat bila mana anak-anak meningkat ke usia 10 tahun ke atas. Anak-anak yg stabil emosinya akan kelihatan lebih matang, tenang, suka memberikan bantuan dan peka kepada orang di sekelilingnya. Sebaliknya anak yang kurang stabil emosi cenderung untuk bertelagah dengan adik-beradik, bersikap malas dan hanya mementingkan diri sendiri.

Namun demikian, ibu bapa usahlah gusar jika mendapati anak- anak ‘bermasalah’ di sudut emosi. Masih belum terlewat untuk ibu bapa menyelami hati anak, memberikan perhatian dan menasihatinya dengan baik. Jika tidak berjaya, anak tersebut perlulah dirujuk kepada kounselor untuk rawatan lanjutan. Ini perlu dilakukan sebelum mereka masuk ke usia remaja yang bakal menjadi lebih mencabar jika tidak dirawat pada usia yang muda.

Selain daripada itu, ibu bapa juga dapat membantu anak-anak dengan melibatkan mereka dengan aktiviti sukan, sukarelawan dan aktiviti kemasyarakatan yang lain agar dapat membina sifat yang positif dan ketahanan mental di dalam diri anak-anak.

Dr Nur Farrah Nadia bt Najib
Timb. Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia

ISMA JB

Image may contain: text

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *