Perlawanan Persahabatan Mengeratkan Silaturahim

Dungun, 10 Mac – Satu perlawanan persahabatan bola sepak lelaki telah berlangsung di antara pasukan Pemuda Isma cawangan Dungun (Pemuda Isma Dungun FC) menentang pasukan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA FC). Perlawanan ini merupakan program kerjasama antara Pemuda Isma dan Kelab Remaja Isma (Krim) bagi mengukuhkan jentera pasukan masing-masing untuk Karnival Sukan Remaja Muslim (KASRIM) 2018 yang dijadualkan pada bulan April nanti.

Perlawanan yang berlangsung di padang bola sepak SMKAKA  telah dihadiri seramai 36 orang pemain dari kedua-dua belah pihak bermula jam 4.30 petang hingga jam 645 petang.

Yang Dipertua Isma Dungun, Ustaz Fakhruddin bin Abdul Rahman, berkata bahawa sikap hormat-menghormati perlu sentiasa diterapkan dalam kehidupan seharian. “Ambillah peluang dalam perlawanan ini untuk menajamkan kemahiran bola sepak. Di samping itu jadikan ia peluang untuk mengeratkan silaturahim dan melahirkan rasa saling menghormati sesama kita”. kata beliau.

Kedua-dua pasukan saling membalas serangan menjadikan perlawanan ini sengit sehingga tiupan wisel terakhir. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. “Kita berpuas hati dengan corak permainan yang ditonjolkan oleh pemain-pemain. Sebagai perlawanan pemanas badan, keputusan ini cukup baik bagi kedua-dua pasukan. Pada perlawanan sebenar nanti, gerakan yang lebih kreatif diperlukan bagi mencipta jaringan.” Kata saudara Ikhwan Ilias, pengurus pasukan pemuda Isma.

Di akhir program, sesi tazkirah telah disampaikan saudara M Nazri bin Ismail, AJK Isma Dungun. Beliau menekankan kepentingan memanfaatkan nikmat muda dan menjaga kesihatan bagi mengekalkan kecergasan badan untuk terus maju dan memberi sumbangan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

“Kita beriadah sebagai salah satu tuntutan Islam supaya dapat membentuk badan yang sihat untuk kita melaksanakan kerja-kerja dakwah di jalan Allah”, ujar beliau.

Aktiviti sukan yang diterapkan sebagai satu medium dakwah dan kesihatan adalah selari dengan hasrat ISMA yang ingin mengajak masyarakat agar mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang unggul dan sempurna dalam kehidupan seharian.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *