Permintaan Pramugari Menutup Aurat Tidak Wajar Dipersenda

Permintaan untuk pramugari dibenarkan bertudung oleh pelbagai pihak termasuk para pramugari sendiri di negara kita adalah satu permintaan yang logik dan amat wajar. Tidak ada apa yang pelik dengan permintaan ini memandangkan permintaan ini dibuat di negara kita yang majoriti penduduknya adalah umat Islam dan di dalam perlembagaan Malaysia, telah dinyatakan di dalam perkara 3(1) bahawa agama Islam adalah Agama Persekutuan yang membawa maksud ia adalah agama negara.

Sebaliknya, apa yang tidak wajar diterima adalah reaksi menteri pengangkutan Malaysia dalam sidang dewan rakyat baru-baru ini. Respon ini diberi setelah isu dibangkitkan oleh ahli parlimen PAS Rantau Panjang yang juga merupakan seorang wanita dan juga ahli parlimen PAS Tumpat. Menteri memberi respon bahawa soal imej dan pakaian itu tertakluk kepada dasar syarikat penerbangan berkenaan.

Menurutnya, syarikat penerbangan juga perlu mematuhi standard keselamatan termasuk dalam situasi kecemasan. Apakah standard keselamatan menyarakan bahawa bertudung itu tidak dibenarkan atas alasan keselamatan? Berapa banyak anggota keselamatan negara kita yang diterajui oleh wanita muslimah contohnya di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia yang mengekalkan imej bertudung dan menutup aurat.

Sekiranya benar ia membawa kemudaratan dari sudut keselamatan, sila berikan hujah mengapa ia merbahaya sedangkan ramai lagi pramugari di negara lain seperti Brunei dan Mesir juga memakai tudung dan menutup aurat.

Adakah standard keselamatan dalam penerbangan mereka berbeza?

Sekiranya benar menutup aurat itu tidak mematuhi standard keselamatan, mengapa pula tiba-tiba di musim haji ada syarikat penerbangan yang membenarkan pramugari memakai tudung.

Sebagai seorang menteri di dalam negara yang majoritinya beragama Islam, beliau seharusnya lebih sensitif di dalam membuat penilaian, kenyataan dan keputusan yang melibatkan umat Islam di negara ini. Bukannya mengikut logik akal dan menjawab dengan menggunakan hujah yang dangkal. Sekiranya sesuatu isu itu dibangkitkan di dalam dewan rakyat, pastinya ia adalah satu isu yang relevan untuk dibawa kepada perbincangan yang selanjutnya.

Perbuatan tidak membenarkan wanita menutup aurat di tempat kerja adalah satu bentuk diskriminasi yang tidak dapat diterima. Setelah sekian lama, ramai muslimah di Malaysia telah berjaya membuktikan bahawa mereka telah berjaya di dalam kerjaya masing-masing dengan berpakaian menutup aurat.

Kepada barisan pemimpin negara yang baru dipilih untuk mentadbir negara, adalah amat baik sekiranya polisi pemakaian pramugari dapat ditukar kepada patuh syariah bagi yang menganuti agama Islam. Ini bukanlah satu pemaksaan tetapi dianjurkan mereka diberi pilihan untuk memakai pakaian menutup aurat bagi yang meninginkannya.

Pemaksaan untuk berpakaian tidak menutup aurat oleh pramugari negara sepatutnya “a thing of the past” dan tidak sepatutnya diteruskan. Ia merupakan undang-undang lama yang tidak meraikan hak untuk menutup aurat oleh wanita muslimah di negara kita.

Dr. Nor Ruzaini Sulaiman

Ketua Wanita ISMA Melaka Tengah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *