Persediaan & perancangan teliti perlu bagi membentuk keluarga Muslim

nazmi

KOTA TINGGI, 2 April – Pembinaan keluarga Muslim (baitul muslim) yang dapat menjayakan agenda dakwah dan tarbiyah Islam memerlukan persediaan rapi dan perancangan yang teliti.

Demikian tazkirah yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor, saudara Ahmad Nazmi Roslan kepada para peserta ‘Hari Keluarga ISMA Johor’ dalam slot tazkirah Subuh di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, fasa pembinaan keluarga Muslim adalah fasa mencabar yang akan menguji setiap individu Muslim.

Justeru, untuk berhadapan dengan ujian yang mendatang disamping teguh (tsabat) meneruskan agenda dakwah Islam, beberapa persediaan perlu dibuat antaranya ialah dengan memperbanyakkan doa dan solat hajat kepada Allah SWT.

“Persediaan sebelum berkahwin akan sangat membantu pasangan untuk berhadapan dengan ujian rumah tangga kelak kerana perkahwinan itu tidak menjanjikan perkara yang indah semata-mata,” ujar beliau lagi.

Hari Keluarga ISMA Johor kali kedua yang diadakan di Teluk Ramunia ini telah berjaya menghimpunkan ahli-ahli ISMA Johor yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Bertemakan ‘Keluarga Terancang, Dakwah Terbilang’, pelbagai aktiviti menarik disusun demi mengeratkan silaturrahim dan kerjasama sesama ahli disamping menghayati suasana dan nilai kekeluargaan sebuah keluarga dakwah.

Siti Nurliyana Saifollah
Wartawan ISMA Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *