Perutusan Ramadan 2016 daripada i-GURU

Menjadi Insan Rabbani Dengan Tarbiyah Ramadan

Ramadhan

Kita telah memasuki madrasah tarbiyah Ilahi yang sentiasa dinantikan oleh seluruh umat Islam. Bulan yang penuh keberkatan ini mempunyai wasilah tarbiyah yang tersendiri yang diperlukan oleh setiap hamba-Nya untuk mengubah diri menjadi seorang insan rabbani. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa” (Al-Baqarah: 183)

Puasa yang merupakan syariat utama dalam bulan Ramadan mempunyai matlamat yang besar iaitu mempersiapkan diri menjadi insan rabbani dan bertaqwa. Allah ingin melahirkan hamba-hamba-Nya yang memiliki gelojak iman yang tinggi dan berpanjangan dengan meletakkan Allah sebagai matlamat bukan bergantung kepada semangat dan suasana semata. Kekuatan matlamat yang jelas dan niat yang betul akan membawa kita sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan serta membentengi diri daripada terjebak dengan kekufuran.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat.” (Al-Baqarah: 186)

Matlamat dan impian hanya akan menjadi angan-angan kosong sekiranya tiada tindakan dan perubahan yang dibuat. Maka disepajang madrasah Ramadan, Allah turut mentarbiyah kita melakukan tindakan segera dengan mengubah jadual seharian bermula dengan bangun lebih awal, bersiap sedia untuk berpuasa, menjadikan setiap aktiviti sebagai ibadah, meninggalkan perkara yang sia-sia serta mengkhususkan ibadah pada malam hari. Hanya dengan mengubah sistem hidup, latihan yang panjang serta iltizam yang luar biasa yang akan memastikan pembinaan insan rabbani dalam diri kita menjadi kenyataan.

Justeru kami mengajak semua guru agar memanfaatkan bulan Ramadan ini untuk mendidik diri dan pelajar lebih dekat kepada Allah, melakukan perubahan demi perubahan untuk menjadi insan rabbani yang mempunyai jatidiri yang kuat dan seterusnya memberi manfaat yang besar kepada seluruh masyarakat dan negara. Kita memerlukan insan-insan yang mempunyai jiwa yang besar dan bersih untuk memandu negara menghadapi pelbagai cabaran kebatilan yang mendatang.

.

photo_2016-05-16_20-05-43

Nuraizam bin idris

Setiausaha Agung Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU)

6 Jun 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *