Perutusan Ramadhan 1437 Hijrah Presiden Isma

abdullah zaik

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan kepada semua kenalan dan sesiapa sahaja yang mengenali saya, di mana sahaja mereka berada.

Allah s.w.t memuliakan Ramadhan sebagaimana ia telah memuliakan Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis.

Ramadhan, Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis mempunyai persamaan dari segi hubungan atau pertalian dengan penurunan risalah Islam kepada manusia.

Seperti Mekah, Madinah dan baitul Maqdis, Ramadhan dimuliakan dengan risalah dari sudut masa penurunan berbanding ketiga-tiga yang lain dari sudut tempat.

Pada bulan Ramadhan ada satu malam, padanya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia. Kita umat Islam dimuliakan dengan menjadi pengikut Muhammad s.a.w dan pendokong ajaran Al-Quran.

Allah s.w.t memuliakan Ramadhan, Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis dengan melipatgandakan amalan pada tempat dan masa tersebut. Semuanya berkait rapat dengan rukun-rukun Islam seperti solat, puasa, haji, jihad dan sebagainya.

Berpuasa dan mendirikan malam merupakan dua syiar utama yang dilakukan pada bulan Ramadhan di samping tadarus Al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Terdapat hadis-hadis yang banyak menjelaskan perkara tersebut.

Walaupun qiamullail atau mendirikan malam bukan satu ibadat wajib tetapi ia merupakan syiar yang sangat penting yang perlu dilakukan dengan meriah dan terbuka bagi meraikan sambutan bulan Ramadhan yang menjadi penghubung antara langit dan bumi.

Memahami hakikat ini maka Saidina Umar r.a telah menjadikannya ibadah jam’ie yang dilakukan secara berjamaah.

Beliau memahami bahawa itulah yang ingin dilakukan oleh Rasulullah.s.a.w semasa hidupnya, tetapi baginda mengelak demi kerana tidak mahu membebankan umatnya. Dengan itu, solat qiam (terawih) kekal sebagai amalan sunat sehingga hari ini.

Maksud dari menghidupkan Ramadhan ialah untuk menzahirkan kedudukan Islam dan umat Muhammad s.a.w berbanding dengan umat yang lain dengan memberi suluhan yang terang tentang pertalian khusus dengan wahyu dan Allah, tuhan yang mencipta.

Jesteru umat Islam pada bulan Ramadhan perlu menghidupkan syiar-syiar ibadah dengan sengguh-sungguh bagi menzahirkan pertalian yang ulung dan mulia itu. Kita adalah umat yang mulia, tinggi lagi agung.

Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *