“Pilihlah pemimpinmu dengan wahyu, bukan nafsu”

waspada-7-pemimpin-2

Islam menyedarkan kita bahawa setiap kita adalah pemimpin. Daripada sebagai seorang raja, ketua negara, perdana menteri, ketua syarikat, ketua keluarga hinggalah kepada setidak-tidaknya memimpin diri sendiri. Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi SAW, beliau bersabda: “Ketahuilah Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin….”

Kisah Agung

Saidina Umar ra., pemimpin negara Khilafah yang luas wilayahnya meliputi Jazirah Arab, Persia, Iraq, Syam, serta Mesir, pernah berkata: “Andaikan ada seekor hewan di Irak kakinya terperosok di jalan, aku takut Allah akan meminta pertanggung-jawabanku kenapa tidak mempersiapkan jalan tersebut (menjadi jalan yang rata dan bagus).”

Ini adalah secebis kisah agung keperibadian seorang pemimpin yang dicetak oleh Rasulullah s.a.w berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Sejarah Islam jelas membuktikan betapa berjayanya al-Quran yang merupakan wahyu bimbingan dari Yang Maha Bijaksana mencetak pemimpin-pemimpin dunia yang langsung tidak dapat dipertikaikan oleh musuh mereka apatah lagi umat Islam itu sendiri. 

Dulu , Kini, Selamanya

Sirah para sahabat radhiallahu anhum ajma’in bukan sekadar satu coretan untuk dijadikan sebagai santapan umum, tetapi sebagai panduan bagi mereka yang bijak berfikir. Pemimpin masa kini dan untuk selamanya tidak perlu mengkaji dan mencipta satu formula yang baru bagaimana menjadi pemimpin yang hebat. Hanya perlu mengikut jejak mereka yang pernah telah menjadi hebat sebagai seorang pemimpin di dalam Islam.

Rahsia yang diketahui umum bahawa para pemimpin di era kegemilangan Islam menjadikan wahyu sebagai panduan pentadbiran mereka. Mereka berakhlak dengan wahyu, bermuamalah dengan wahyu, dan berhukum dengan wahyu. Mereka tidak berhukum dengan akal apatah lagi dengan nafsu dan dengan wahyu itulah mengangkat mereka sebagai seorang pemimpin yang bertaqwa sekaligus mendapat tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t.

Hadiah Bagi Seorang Pemimpin

“Sesungguhnya orang-orang yang adil di sisi Allah berada pada mimbar-mimbar dari cahaya di sebelah kanan ar-Rahman dan kedua Tangan-Nya adalah kanan, iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga dan kepimpinan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ternyata, ini salah satu motivasi kepada para khalifah Islam dahulu dalam memastikan tugasnya sebagai seorang pemimpin, dapat melaksanakan syariat berdasarkan wahyu. Mereka tidak meminta jawatan, tetapi sebaik dilantik, mereka menggalas dengan sebaiknya berdasarkan pimpinan wahyu.

Pemimpin Yang Membawa Azab

Akan tetapi, padah menanti kepada para pemimpin juga. Ancaman yang sangat keras Rasulullah tujukan kepada seorang pemimpin yang berlaku zalim, mendatangkan penderitaan dan azab kepada pimpinannya, mengabaikan tanggungjawab membawa pimpinannya mentaati Allah dan RasulNya dengan ancaman yang menggetarkan hati bagi orang mukmin.

Sabda Rasulullah s.a.w , “Ada empat golongan yang paling Allah benci. Peniaga yang banyak bersumpah, orang fakir yang sombong, orang tua yang berzina, dan seorang pemimpin (penguasa) yang zalim.” (HR. An-Nasai).

Tidak ada kebinasaan yang lebih menggerunkan daripada mendapat kebencian daripada Allah Yang Menguasai Hari Pembalasan.

Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak ada seorang hamba pun yang mendapat amanah dari Allah untuk memimpin rakyat, lalu ia meninggal pada hari meninggalnya di dalam keadaan mengkhianati rakyatnya melainkan Allah telah mengharamkan ke atasnya syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Binasalah Langit & Bumi      

Di dalam al-Quran, setiap kali Allah menyebut berkaitan al-hawa, ianya akan diikuti dengan celaan menunjukkan betapa buruknya mereka yang mengikut al-hawa atau nafsu.
“Kalau sekiranya al-haq mengikut al-hawa mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalam keduanya.” (Al-Mukminun 23: 71)

“Adakah orang yang berada di atas keterangan (dalil) dari Tuhannya sama dengan orang yang diperhiaskan kepadanya amalan jahatnya dan mereka mengikut al-hawa mereka?” (Muhammad 47: 14)

Tiada Jalan Tengah

Syed Qutb berkata di dalam tafsirnya “Fi Zilal al-Quran” :

”Sama ada syariat Allah ataupun hawa-hawa orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah di antara syariat yang lurus dan hawa yang berubah-ubah. Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya secara otomatik telah berhukumkan hawanya. Semua yang lain dari syariat Allah adalah hawa yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.

Bagi mereka yang tidak mengikut wahyu, bererti mengikut nafsunya dan nantikanlah saat kehancuran.

Seruan Kepada Pemimpin dan Yang Dipimpin

Kepada pemimpin, Rasulullah ada bersabda, “Sesungguhnya seorang pemimpin itu merupakan perisai, rakyat akan berperang di belakang serta berlindung dengannya. Bila ia memerintah untuk takwa kepada Allah azza wa jalla serta bertindak adil, maka ia akan memperoleh pahala. Namun bila ia memerintah dengan selainnya, maka ia akan mendapatkan akibatnya. “(HR Muslim). Pimpinlah pimpinanmu mengikut wahyu, bukan nafsu.

Kepada yang dipimpin, Ibnu Taimiyyah dalam karyanya Siyasah Syari’iyah mengutip sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. “Barangsiapa yang mengangkat seseorang (pemimpin) untuk mengurusi perkara kaum Muslimin sementara dia mendapati ada seseorang yang lebih layak daripada orang yang diangkatnya, maka dia telah berkhianat pada Allah SWT dan Rasul-Nya.” Pilihlah pemimpinmu dengan wahyu, bukan nafsu.

 

Mohd Farhan Abdullah

Aktivis Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *