Prestasi Keputusan SPM Maahad Imtiyaz Terus Meningkat

Oleh: Nor Liyana Mohamad Rosly

IPOH, 14 Mac 2019 – Maahad Imtiyaz sekali lagi menunjukkan peningkatan prestasi dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 apabila mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) 3.07 berbanding 4.24 pada tahun 2017 dan 5.23 pada tahun 2016.

Dengan bilangan calon seramai 17 orang, empat daripadanya mendapat 7A, dan seorang daripadanya masing-masing mendapat 6A dan 5A.

Menurut Rosidi Shahari, pengetua sekolah tersebut, peningkatan ketara pada kali ini adalah dalam subjek Matematik, Pendidikan Quran dan Sunnah, dan Bahasa Arab.

Pengetua Maahad Imtiyaz, Rosidi Shahari bergambar bersama para pelajar yang menerima keputusan cemerlang 7A dalam SPM 2018

“Jutaan tahniah saya ucapkan kepada para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih dan syabas buat guru-guru yang telah banyak berkorban demi mendidik anak-anak ini sehingga berjaya” ujarnya.

“Kami juga menaruh harapan yang tinggi agar Maahad Imtiyaz sekali lagi dapat merangkul anugerah sekolah terbaik SPM kategori Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) negeri Perak seperti tahun lalu”, tambah Rosidi.

Sementara itu, ketika ditanya tentang rahsia kejayaannya, Aufa Zamri, salah seorang penerima keputusan cemerlang 7A di Maahad Imtiyaz berkata, perkara paling utama dalam menuntut ilmu adalah melazimi bacaan Al-Quran dan qiamullail.

“Saya selalu memulakan ulang kaji dengan membaca Al-Quran terlebih dahulu. Kemudian pada sebelah malam, saya akan bangun dan melakukan qiamullail memohon agar Allah memberikan kemudahan kepada saya untuk belajar”, katanya.

Keputusan SPM 2018 ini merupakan keputusan yang paling baik pernah mereka perolehi sepanjang tiga tahun sejak SPM mula diambil di sekolah tersebut pada tahun 2016.

Pihak sekolah turut mensasarkan untuk mendapat GPS 3.0 dan sifar E pada SPM tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *