Program Bakul Ramadhan 2018 Sekitar Kota Bharu

Kota Bharu – Gabungan NGO-NGO Yayasan Ikhlas, Wanita ISMA Kota Bharu dan I-Medik Kelantan telah berjaya meneruskan program tahunan mereka iaitu Program Bakul Ramadhan(BR). Kali ini program ini diadakan secara berperingkat.

Majlis penyerahan sumbangan BR telah berlangsung di beberapa tempat di sekitar Kota Bharu. Pada 7 Jun, sumbangan diserahkan kepada para penerima di Surau Sungai Keladi dan pada 8 Jun pula di Pejabat ISMA Kota Bharu. Bantuan diagihkan kepada kira-kira 123 orang penerima selama 2 hari majlis ini diadakan.

Pengurus Yayasan Ikhlas Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Iskandar dan Ustazah Asmahriah Wan Ibrahim, Ketua Wanita ISMA Kota Bharu, telah sudi hadir dan mewakili gabungan NGO-NGO ini untuk menyampaikan sumbangan kepada para penerima daripada golongan yang kurang berkemampuan.

Ustaz Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur kena program ini berjalan lancar dan beliau berterima kasih kepada para penyumbang dan AJK yang bertungkus lumus mengendalikan program BR 2018.

Beliau turut memetik sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: ” Sungguh berjalannya seseorang di antara kamu untuk memenuhi keperluan saudaranya, lebih baik baginya daripada iktikaf di masjidku (masjid Nabawi) ini selama sebulan.”

“Semoga para penyumbang dimurahkan rezeki dan diberkati kehidupan. Semoga Program Bakul Ramadan ini dapat mengurangkan beban para penerima menjelang hari Raya Aidilfitri nanti”, kata beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *