Program ‘Feeding the Homeless’ anjuran ISMA Cardiff Perintis Gerakan Aktivisme Komuniti Setempat

 

CARDIFF, 2 Dis 2017 – “Feeding the Homeless” merupakan satu program bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik sekitar Cardiff. Alhamdulillah program telah dilaksanakan dengan jayanya oleh jawatankuasa Warming The Soul ISMA Cardiff.

Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai sekurang-kurangnya 40 peserta terdiri dari pelajar Cardiff sendiri yang sanggup berkorban hadir seawal 7.00 pagi untuk memulakan ekspedisi menjejaki golongan kurang bernasib baik di sekitar bandar Cardiff. Program seterusnya diteruskan dengan kata-kata aluan oleh Pengarah Program lalu para peserta dibahagikan kepada 4 buah kumpulan bagi meliputi seluruh bandar Cardiff mencari golongan berikut. Program tamat jam 8.30 pagi dan disudahi dengan kata-kata akhir dan ucapan penghargaan oleh Saudara Ahmad Faris serta Saudara Akmal Othman.

Saudara Ammar Yadzan, salah satu peserta program, ketika ditemubual Media ISMA Eropah berkata, “program ini merupakan satu peluang keemasaan buat para pelajar untuk alami kerana ia bukan sahaja melatih diri untuk berasa keadaan bagaimana hidup dalam serba kekurangan bahkan juga membuahkan hasil atau impak yang cukup positif kepada masyarakat sekeliling.

Tambah beliau lagi, “aktiviti sebegini diharapkan dapat memupuk semangat suka memberi dalam kalangan para pelajar kepada masyarakat.”

Lebih meriah lagi apabila salah seorang pejalan kaki berhampiran, Scott, sempat ditemubual meluahkan rasa takjub akan semangat yang ditonjolkan oleh semua peserta dan AJK yang terlibat. Beliau kagum terhadap pelajar Malaysia yang sudi berbakti dan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik walaupun di negara asing.

Dengan berpegang kepada hadis yang telah diriwayatkan oleh Bukhari: “Nabi S.A.W bersabda; Manusia yang baik di antara kamu ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain”.

Sehubungan dengan itu, diharapkan program sebegini menjadi satu platform terbaik bagi mahasiswa Malaysia di United Kingdom untuk menyumbang kembali kepada komuniti dan masyarakat setempat.

Pihak ISMA UK-Eire amat bersyukur kerana program ini berjalan dengan lancar dan merancang untuk dijadikan aktiviti tahunan pada masa hadapan.

Akhir Kata,

Allah berfirman , “Perumpamaan orang-orang yang mendermakan harta bendanya di jalan Allah ibarat menanam sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh untai dan tiap-tiap untai terdapat seratus biji benih dan Allah melipatkan-gandakan balasan kepada orang yang dikehendaki dan Sesungguhnya Allah Maha Luas (Anugerah-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Al-Baqarah:261)

Biro Penerangan ISMA Eropah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *