Program Robotik Cilik bakal membina generasi pakar teknologi

Oleh: Imran Harith Bin Azmy

Foto : Nora Shahidah

AMPANG, 30 OktProgram Robotik Cilik anjuran Komuniti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ampang dengan kerjasama Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) Gombak, Masjid Fatimah Az Zahra dan Akademi DS telah berlangsung dengan jayanya. Program ini telah disertai oleh kira-kira 40 orang peserta dari kalangan anak-anak kariah dan penduduk sekitar Taman Kosas.

Antara aktiviti di dalam program ini ialah pengenalan dron oleh Encik Ghazali Yaid dari Akademi DS serta merekabentuk robot secara berkumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator-fasilitator NAZIM Gombak yang juga merupakan penganjur program ini.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada anak-anak kecil tentang teknologi bagi menghadapi masa depan yang semakin moden dan canggih sekaligus untuk membina generasi umat Islam yang mahir dan pakar dalam bidang teknologi.

Ketua komuniti ISMA Ampang Jaya, Saudara Yasin Azman mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua AJK, fasilitator dan pihak masjid kerana berjaya menganjurkan program yang serba bermanfaat ini dan berharap agar lebih banyak bentuk kerjasama dapat dilakukan bersama semua pihak yang terbabit terutamanya pihak Masjid Fatimah Az Zahra, Taman Kosas, Ampang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *