Puasa dan kesihatan

Islam merupakan agama yang syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuklah penjagaan daripada sudut kesihatan yang mana umat Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga akal dan nyawa. Kesihatan merupakan modal utama untuk bekerja, beribadah dan melaksanakan aktiviti lain.

Kesihatan jasmani dan rohani merupakan nikmat dan rahmat Allah yang setinggi-tingginya. Harta benda dan pangkat tiada nilainya apabila jasmani dan rohani sakit. Oleh kerana itu, Islam sentiasa menekankan pemakanan yang baik dan halal serta kebersihan zahir dan batin demi mencapai kesihatan yang optimum. Kesihatan merupakan kewajiban dan ini termasuk dalam ciri peribadi muslim Imam Hasan al-Banna yg pertama iaitu menjaga kesihatan tubuh badan.

Antara panduan mencegah penyakit dalam Islam ialah senaman olahraga yang teratur dan berkualiti seperti regangan dan kekuatan (strengthening), menjaga kesihatan dan kebersihan, melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk serta menjaga perilaku setiap hari sesuai dgn sunnah Rasulullah saw.

Dari segi pemakanan pula, Islam menitikberatkan makan mengikut jenis dan kadar yang sesuai dengan umur, tahap kesihatan dan cara hidup harian, mengelakkan makanan yang memudaratkan serta mengikut Sunnah makan makanan kegemaran Rasulullah saw seperti air, air zam zam, daging kambing, ikan segar, keju, soya, timun, garam, gandum, kurma, madu, habbatus sauda’ dan buah-buahan.

Selain itu, makanlah ikut sunnah Rasulullah saw iaitu makan guna jari, tak bernafas ketika minum, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang serta makan dengan posisi duduk di atas satu kaki dan menekuk kaki yang lain untuk menekan perut.

Umat Islam juga digalakkan mengambil rawatan seperti sabda Rasulullah saw yang bermakssud “Berubatlah kalian wahai hamba Allah, sesungguhnya Dia tidak menurunkan penyakit melainkan dia juga menurunkan ubatnya”. (Riwayat Ashabus Sunan)

Terdapat beberapa pilihan rawatan iaitu, perubatan moden, perubatan alternatif (pastikan tidak tertipu dgn barangan kesihatan yang dijual di pasaran) dan rawatan ikut cara Nabi saw seperti al hijamah (bekam), Istiqa’ (muntah/keluarkan isi perut) dan Ruqyah Syar’ieyah (menggunakan ayat-ayat al Quran dan doa).

Dengan itu, disimpulkan panduan menjaga kesihatan dalam Islam iaitu merawat dan mencegah seperti Sabda Rasulullah saw: “Jika kalian mendengar ada wabak taun di sebuah negeri, janganlah kalian memasuki negeri tersebut dan jika taun itu mewabak di negeri kalian, janganlah kalian kalian keluar dari negeri kalian untuk menghindari penyakit itu”. Selain itu, jangan lupa melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun serta melindungi di mana Islam menganjurkan agar berikhtiar melindungi diri daripada pelbagai penyakit contoh dengan mengambil imunisasi.

Kelebihan puasa daripada sudut kesihatan

Bulan Ramadhan banyak mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat terutama jika diamalkan dengan sempurna dan penuh keinsafan. Ramadhan satu anugerah pada kita kerana mampu menaikkan taraf kesihatan masyarakat.

Mengikut Dr Danial Zainal Abidin, biasanya kita mengambil ubat apabila sakit, maka sudah tiba masanya kita amalkan sesuatu yang berbeza iaitu bila sakit kita puasa. Puasa adalah penawar, kerana ia boleh merangsang perubahan-perubahan dalam metabolisme badan dan membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika puasa, organ-organ badan dapat rehat dan membantu buang segala kotoran dan toksin.

Puasa merupakan cara rawatan tertua di dunia dan telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu termasuk Plato, Pythagoras dan juga Mahatma Gandhi. Ia juga sering diamalkan di kalangan orang-orang Yahudi, Kristian, Hindu dan lain-lain.

Puasa dikatakan mampu menyembuhkan penyakit asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman, penyakit kulit, jangkitan kuman dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Puasa dan detoksifikasi

Detoksifikasi adalah proses mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin.

Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam kajiannya Adventures in Therapeutic Fasting, mendapati bahwa puasa ketika sakit mampu merehatkan badan pesakit lalu membantu membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.

Menurut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, binatang-binatang apabila mereka sakit mereka akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang memerhatikan fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang semulajadi ke arah kesembuhan.

Ramadhan dan pencegahan dan penyembuhan penyakit

Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’ diadakan di Casablanca, Morocco. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu.

Pakar-pakar perubatan seluruh dunia sepakat mengatakan bahawa puasa boleh menurunkan kadar glukos darah, tekanan darah (BP), kadar kolesterol dalam darah iaitu menaikkan HDL (kolesterol baik) dan menurunkan LDL (kolesterol mudarat) serta menurunkan juga berat badan.

Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia.

Bagi perokok pula, biasanya kajian sains mendapati, setelah kadar nikotin dalam darah menurun dan selepas beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambah kadar nikotin, tetapi ini tidak berlaku dalam bulan Ramadhan, dan ianya satu perkara yg tidak dapat dijawab oleh sains. Maknanya, perokok tidak merasa gian hendak merokok semasa berpuasa.

Selain manafaat fisiologi, terdapat juga manafaat pada kesihatan jiwa iaitu bacaan Al Quran mampu meningkatkan daya ingatan dan memberi ketenangan jiwa serta solat terawih dikatakan membakar 10 kalori tenaga setiap rakaat di samping menigkatkan kesihatan otot, tulang dan sendi.

Selain itu, Dr Allan Cott seorang pakar perubatan di Amerika dalam bukunya Why Fast telah membuat kajian dua kumpulan iaitu satu kumpulan rajin puasa dan satu kumpulan tidak puasa. Beliau mendapati kumpulan yang rajin puasa mendapat markah lebih tinggi dalam ujian berbanding kumpulan yang tak puasa. Di samping itu, beliau dapati puasa boleh buat kita merasa lebih baik fizikal dan mental, membersihkan badan, dan melambatkan penuaan.

Dr Alexis Carrell yang pernah memenangi Hadiah Nobel dalam bidang perubatan telah membuat kajian di mana puasa dapat meningkatkan kesegaran dan kesihatan tubuh badan. Beliau mendapati perut yang sentiasa bekerja memproses makanan perlu berehat sementara waktu.

Dalam satu kajian lain oleh Intermountain Heart Collaborative Study, 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung.

Menurut Dr. Mark Pereira dari Pusat Perubatan Harvard pula, beliau mendapati mereka yang sentiasa bersahur ataupun bersarapan pagi didapati 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Puasa dan kesihatan mental

Puasa didapati memberikan kesan yang sangat baik kepada otak. Dalam satu eksperimen oleh National Institute on Aging (Amerika) ke atas tikus-tikus, mereka mendapati tikus yang diberi makanan secara berjadual kemudian disusuli dengan puasa secara berselang-seli mampu bertahan walaupun setelah diberikan sejenis bahan kimia toksik kepada saraf (neurotoxin) yang boleh menyebabkan penyakit seumpama Alzheimer (penyakit kelupaan) kepada manusia.

Di samping itu, puasa boleh kurangkan kesan-kesan negatif kecedaraan otak sederhana, merangsangkan hormone endorphin untuk hilangkan sakit dan tenangkan jiwa serta membantu tidur terutama utk warga tua.

Puasa dan awet muda

Dr Yuri Nikolayev, pengarah bahagian diet di Moscow dalam bukunya “Hungry for Healthy mengatakan bahawa setiap orang mesti puasa empat minggu setahun untuk memperolehi awet muda dan kesihatan yang sempurna dan ini perupakan penemuan terpenting abad ini.

Puasa diakui sebagai penyembuh terhebat dalam menangani penyakit. Di Amerika, ada pusat puasa Fasting Centre International Inc. yang sudah didirikan sejak 35 tahun dulu dengan pesakit daripada 220 buah negara. Ia mencadangkan puasa dalam program-program penurunan berat badan, mengeluarkan toksin dalam tubuh dan yang paling penting meningkatkan kualiti hidup.

Oleh itu, jika puasa dilakukan dengan penuh adab dan syarat-syaratnya, kita akan mendapat segala kebaikan rohani, jasmani dan juga mental dengan izin Allah.

Panduan kesihatan dalam bulan Ramadhan

1. Berbuka dengan ruthaab, tamar atau air

Ruthaab ( kurma basah) lebih baik dari tamar sebab kandungan seratnya lebih tinggi.Dalam hadis riwayat Imam Abu Daud dan Al-Hakim, Rasulullah saw berbuka dengan makan beberapa Ruthaab sebelum solat, kalau tiada Ruthaab baginda berbuka dengan tamar, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk. Sebaiknya berbuka dengan tamar, bersolat dan seterusnya menikmati juadah yang lebih berat. Perut yang kosong selama 14 jam lebih baik jika didedahkan dengan makan secara beransur-ansur.

2. Lebihkan minum air kosong

Kita digalakkan minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Sebaiknya kurangkan air manis dan lebihkan air kosong sebab ia boleh membantu proses perkumuhan daripada buah pinggang. Puasa Ramadhan adalah satu tempoh di mana berlakunya proses detoksifikasi. Detoksifikasi adalah proses pembersihan dan pembuangan racun dan toksin daripada badan. Ketika berpuasa, organ pencernaan makanan seperti perut dan pancreas berehat. Ia membantu organ pembersihan seperti usus, hati dan ginjal lebih berkesan mengeluarkan toksin dari badan. Namun begitu, proses detoksifikasi tidak berkesan jika kurang air dalam badan.

3. Kawal pengambilan lemak, gula

Sebaiknya dimasak sendiri juadah berbuka untuk mengawal kadar pengambilan lemak, gula dan garam serta tahap kebersihan penyediaannya. Perbanyakkan makan buah dan sayur-sayuran dalam bulan Ramadhan kerana kandungan serat dan anti oksidan tinggi. Serat membantu penghadaman dan anti oksidan melewatkan penuaan serta melawan penghasilan barah.

4. Lewatkan bersahur

Rasulullah saw bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan”. Inilah perbezaan puasa kita dengan puasa ahli Kitab iaitu bersahur. Sahur yang dilewatkan adalah sarapan pagi yang awal atau ‘early breakfast’. Sebenarnya makanan yang lebih utama dalam sehari adalah makan pagi. Bersahur adalah lebih penting bagi kanak-kanak kerana tubuh mereka yang kecil dan untuk memudahkan tumpuan pada pelajaran kerana kadar glukos yang rendah sewaktu berpuasa.

Senaman sewaktu berpuasa

Kita harus ingat bahawa keperluan yang penting ketika puasa ialah air dan bukan makanan. Di waktu pagi, senaman yang sesuai ialah senaman ringan seperti chi qong, dan regangan sementara pada sebelah petang, seeloknya bersenam satu jam sebelum berbuka, seperti jogging selama 10-15 minit dan berhenti bila ada tanda-tanda kekurangan air seperti pening, keletihan dan warna kencing pekat. Selepas berbuka dan berterawih, boleh juga melakukan senaman yang lebih berat seperti berlari, berbasikal, futsal, tennis dan lain-lain.

Semoga penjagaan kesihatan yang sempurna sebelum, semasa dan selepas bulan Ramadhan dapat menjadikan badan kita cergas untuk melaksanakan ibadah serta melakukan amal soleh sebaik mungkin demi mendapat keredhaan dan pahala Allah swt.

Dr Norzila Baharin
Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *