Puasa ikut tuntutan syariat, bukan puasa adat

spu

Kulim, 15 Jun – “Matlamat puasa di bulan Ramadhan adalah untuk memperoleh ketaqwaan, keampunan Allah dan pembebasan dari api neraka.”

Demikian perkongsian daripada Ustazah Norhayati Abdul Wahab, Ketua Wanita ISMA Seberang Perai Utara (SPU) dalam program Sembang Santai Ramadhan di Surau Taman Kulim Utama 2.

Ustazah Norhayati berkata, untuk mencapai matlamat tersebut, kita hendaklah berpuasa sebagaimana yang telah dituntut oleh syariat dan diajarkan oleh Nabi S.A.W kepada kita dan bukannya sekadar puasa adat.

“Ciri-ciri puasa syariat ialah selain dari menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa, kita juga perlu menahan seluruh anggota badan dari melakukan maksiat dan larangan Allah”.

“Manakala puasa adat ialah berpuasa namun masih lagi melakukan maksiat, perkara yang dilarang Allah serta perkara-perkara yang melalaikan” katanya lagi.

Program anjuran Surau Taman Kulim Utama 2 dan Biro Wanita ISMA SPU itu turut melibatkan seorang lagi ahli panel iaitu Ustazah Norritta Abu Bakar yang juga merupakan ahli jawatankuasa Biro Wanita ISMA SPU.

Ustazah Norhayati juga berkata, para ibu perlu memainkan peranan bagi menghidupkan suasana Ramadhan dalam kalangan anak-anak di rumah.

Antara aktiviti yang dapat dilakukan adalah dengan latihan berpuasa kepada anak-anak yang kecil dan sebelum menjelang Ramadhan, tadarus al-Quran, solat terawih, bersedekah, berqiamulail dan menghubungkan silaturrahim antara jiran tetangga.

Para ibu juga diingatkan untuk merebut segala kelebihan yang diberikan Allah s.w.t di bulan Ramadhan dengan mujahadah, melazimi muhasabah dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar diberikan kekuatan untuk memperolehi ganjaran dengan sebaiknya.

Siti Nurfarhana Ahmad Puat
Wartawan ISMA SPU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *