Quranis: Anti hadis alaf baru

1. Antara kesesatan yang cuba disebarkan di kalangan umat Islam ialah pemikiran “anti hadis”. Penganutnya mendakwa bahawa sunnah/hadis tidak perlu diikuti oleh Muslim dan bukanlah sebahagian daripada ajaran Islam, dan menganggapnya hanya sebagai satu sejarah intepretasi “manusia” terhadap hukum hakam dalam Quran. Mereka tidak menerima hadis sebagai pentafsir khusus bagi al-Quran dan tidak menjadikan hadis sebagai sumber dalam ajaran Islam.

2. Cara fikir yang songsang ini telahpun lama wujud, sejak zaman Khulafa’ ar-Rasyidin lagi. Dahulunya dipegang oleh sebahagian khawarij yang menolak hadis-hadis Nabi saw dijadikan sumber dalam pengamalan islam, contohnya mereka menolak hukum rejam bagi penzina yang telah berkahwin dan menolak cara berwudhu menggunakan khuf (stokin kulit) kerana hukum-hukum tersebut hanya diperintahkan dan disebutkan dalam hadis dan tidak disebutkan di dalam al-Quran. Setelah “khawarij” pada zaman tersebut hilang ditelan masa, pemikiran ini diwariskan –atau timbul semula- pada sebahagian golongan Muktazilah pada zaman Abbasiah. Begitulah pemikiran ini sekejap wujud, dan sekejap hilang.

3. Di zaman moden ini mereka muncul semula, dengan wajah yang baru. Mereka menggelarkan diri mereka “Quranist”. Hakikat intipatinya, mereka tidak pernah pun berubah, mereka tetap diri mereka yang dahulu, golongan sesat yang mengingkari sunnah Nabi saw.

4. Pada era 1900-an pemikiran ini dicetuskan semula oleh seorang professor Yahudi bernama Goldziher , yang pernah dihantar oleh sebuah badan zionis untuk mengkaji berkenaan Islam di Universiti al-Azhar di Mesir, dan juga Abdullah Chakralvi, salah satu daripada dua agen sesat perosak Islam milik British di India semasa era penjajahan British di sana, yang merupakan gandingan bagi Mirza Ghulam Ahmad –seorang pelopor ajaran sesat bernama Qadiani di India.

Goldziher mengajar di sebuah institut di Budapest dan menulis buku yang banyak tentang intepretasinya terhadap ajaran Islam, dan tulisannya digunakan dalam pengajian Islam di barat akhirnya mempengaruhi pelajar-pelajar “Muslim” yang belajar di negara Eropah seperti Rasyad Khalifa, Toha Husein, dan Muhammad Abu Rayyah.

Rasyad Khalifa menjadi pelopor “Quraniyyun” di Amerika yang kemudiannya tersebar kecil-kecilan ke negara Islam, termasuk negaranya sendiri, Mesir, dan negeri kita, Malaysia, khususnya pada “advokator” Kasim Ahmad dan Farouk Peru.

Kepincangan

5. Pada hujung September tahun lepas, Farouk A Peru, seorang anti  hadis dan pro-Syiah, telah mendakwa melakukan reformasi dalam Islam dengan projek memindahkan solat Jumaat daripada dilakukan pada hari Jumaat kepada hari Sabtu dengan alasan bahawa hari Jumaat adalah hari kerja manakala hari Sabtu orang bercuti “maka lebih selesa jika ianya didirikan pada hari Sabtu sahaja”.

6. Sangat hairan kita dengan dakwaan mereka bahawa format pengisian mereka tertumpu kepada prinsip-prinsip dalam al-Quran, adakah mereka ini tidak membaca firman Allah yang sangat jelas agar mengikut suruhan Nabi s.a.w. dan arahan Nabi s.a.w adalah arahan daripada Allah taala sendiri?

“Wahai orang orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul, agar kamu dirahmati” (ali Imran, 132) dan “dan tidaklah Kami mengutuskan seseorang rasul melainkan untuk ditaati” (An-Nisa, 64) “Barangsiapa yang mentaati rasul maka dia (sebenarnya) telah mentaati Allah” (An-Nisa, 80)

7. Bahkan kalau mereka mendakwa diri mereka sebagai “quranis”, tidakkah mereka membaca surah al-Jumuah, Allah taala telah mewajibkan orang beriman untuk menunaikan solat Jumaat, justeru dari mana pula datangnya fatwa sesat mereka mahu menukar solat Jumaat ke hari Sabtu?

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli, dan itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Al-Jumuah, 9)

Atas asas apa mereka mahu mengada-adakan bid’ah dan mengubah arahan Allah taala? Adakah mereka mahu mengikuti jejak langkah kaum Yahudi dan Nasrani yang sesuka hati mengubah ajaran agama yang diperintahkan melalui nabi-nabi mereka?

8. Kesesatan golongan anti hadis sangat jelas dan sangat terang, saya tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan lagi kepada manusia yang masih mahu menjebakkan diri ke dalam kesesatan yang nyata seperti itu. Mereka sebenarnya mendakwa diri mereka sebagai “quranis” hanyalah sebagai alasan untuk menolak apa yang mereka tidak suka dalam Islam. Sedangkan mereka sendiri mahu menolak ajaran quran sendiri bahkan perintah yang jelas seperti solat Jumaat juga mereka mahu menolaknya.

9. Hari ini banyak ajaran sesat yang lahir, mencampur aduk antara ajaran liberal, Syiah, Kristian, Hindu atau lain-lain tapi masih mahu mendakwa diri mereka sebahagian dari islam atau masih “syariah compliance” dengan hujah-hujah Islamik. Mereka sebenarnya hanyalah pendusta yang ingin menjustifikasi perbuatan ingkar mereka terhadap agama.

10. Bacalah firman Allah taala :

“Sesungguhnya mereka yang ingkar kepada Allah dan rasul-rasulNya dan hendak memisahkan di antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasulNya, dan berkata bahawa kami beriman dengan sebahagian (dari ajaran agama) dan ingkar pada sebahagian (yang lain) dan hendak mengambil jalan tengah di antara perkara itu (iman dan ingkar).

Merekalah orang orang kafir yang sebenar. Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan.

Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya dan tidak membezakan seorang pun dari mereka, itulah yang kelak Allah akan berikan ganjaran kepada mereka, dan Allah sungguh Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

11. Semoga Allah taala menyelamatkan kita dan seluruh umat Islam dari ajaran sesat ini dan menghapuskannya dari permukaan bumi.

Zaid Zainur Rashid
Pelajar Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar
Aktivis Isma Mesir

1 comment

Leave Comment
  1. Assalamualaikum wbr,
    Selidiki dahulu mengenai Ahmadiyah sebelum menuduh sesat tanpa sebarang periksa.
    Amalkan perintah Al-Qur’an.
    Wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *