RAHSIA KEBAHAGIAAN KELUARGA DAKWAH

Port Dickson, 31 Disember 2017 – Seminar Keluarga Dakwah anjuran Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Isma Port Dickson yang berlangsung baru-baru ini merungkai rahsia kebahagiaan keluarga dakwah.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk melahirkan rumah tangga muslim yang pro-aktif dalam dakwah dan mampu menjana komunikasi berkesan dalam rumah tangga dakwah. Selain itu, ia juga membantu keluarga dakwah dalam melahirkan generasi pelapis yang memahami tugas dan tanggungjawab dakwah.

Seminar ini dirasmikan oleh En Jaafar Suradi, Yang Dipertua Isma cawangan port Dickson. En. Jaafar menekankan dalam ucapannya bahawa tarbiyah sangat penting dalam pembentukan sebuah keluarga dakwah. Ibu bapa kena lebih kuat bekerja dan kurangkan tidur. Pelbagaikan aktiviti-aktiviti yang mendorong anak-anak memahami matlamat keluarga dakwah yang ingin dicapai.

Seminar diteruskan dengan ceramah bertajuk Komunikasi Berkesan yang disampaikan oleh ustazah Hayati Mohd Zari. Menurut beliau, bahasa tubuh adalah salah satu bentuk komunikasi yang sangat memberi kesan dalam pembentukan keluarga dakwah.

“Bahasa tubuh mengambil posisi 55% dalam komunikasi yang berkesan berbanding intonasi dan percakapan yang masing-masing hanya 38% dan hanya 7%. Jadi, dalam pembentukan sebuah keluarga, tingkah laku ibu bapa lebih memberi kesan dalam pendidikan anak-anak. Kita perlu mengenali sifat spikometri pasangan dan anak-anak kita supaya kita boleh berkomunikasi dengan pendekatan yang bersesuaian agar matlamat pembentukan sebuah keluarga dakwah tercapai.” Jelas ustazah Hayati yang merupakan biro tarbiyah Isma cawangan nilai.

Pada slot kedua, seminar dihangatkan dengan forum bertajuk “Kemenjadian Anak-Anak” yang menampilkan ahli panel yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman bersama isteri, Ustazah Wan Zaimah Wan Ibrahim dan anak kedua pasangan ini, Saudara Abu Bakr Mohd Hazizi.

Menurut Ustaz Hazizi, kemenjadian anak-anak adalah kesolehan dan komitmennya dalam mengikuti program-program yang kita aturkan dalam keadaan dia sedar dan faham. Kita perlu menyusun program yang terancang supaya anak-anak memahami proses tarbiyah dan sentiasa terdorong untuk berfikir. Ibu bapa juga perlu tahu personaliti anak-anak supaya halatuju anak-anak mengikut personaliti yang bersesuaian. Hubungan yang kuat antara ibu bapa dan anak-anak serta pergaulan anak-anak dengan ikhwah akhawat juga antara dua faktor penting kemenjadian anak-anak dakwah.

Ustazah Wan Zaimah pula berpandangan bahawa kedua ibu dan bapa mempunyai peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak. Bapa bertindak sebagai pemimpin yang memandu keluarga mengikut acuan yang sebenar. Ibu pula berperanan mendidik anak-anak di rumah dan pastikan anak-anak melakukan perkara yang betul. Ibu bapa perlu membudayakan akhlak yang baik di rumah kerana mereka adalah qudwah kepada anak-anak. Selain itu perlu sentiasa pastikan anak-anak menjaga solat 5 waktu dan dilakukan secara berjemaah agar ikatan kekeluargaan bertambah erat.

Pada pandangan saudara Abu Bakr pula, anak-anak dari keluarga dakwah biasanya tidak memahami perjuangan dan kesibukan ibu bapa dalam urusan dakwah. Kekangan masa bersama keluarga menyebabkan anak-anak merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian. Namun, penglibatan anak-anak dalam program dan tarbiyah yang dianjurkan oleh Isma membantu mereka memahami tugas ibu dan ayah sebagai daie. Selain itu, perkongsian pengalaman dan pandangan dari anak-anak ahli Isma lain juga membantu dalam proses pentarbiyahan diri sendiri.

Seminar yang merupakan penutup aktiviti Isma Port Dickson bagi tahun 2017 ini diharapkan dapat membantu para peserta dalam melayari bahtera kehidupan dan memastikan semua penumpang di dalam bahtera ini tidak tersasar dari matlamat untuk menjadi sebuah keluarga dakwah.

Oleh Habsah Binti Abdul Shaer, Biro Komunikasi Isma Port Dickson

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *