Ramadan bakal tiba, apa persediaan kita?

Oleh: Wan Nor Alia Basirah binti Wan Mustaffa

Bulan Ramadan bakal menjelma tidak lama lagi yang merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk menggandakan ibadat dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.Namun, selama bertahun-tahun kita menlalui bulan Ramadan, pernahkah kita terfikir mengapa momentum ibadah yang kita dilakukan itu kebiasaannya tidak berterusan selepas Ramadan berakhir?

Sebagai contoh, berapa ramai orang yang boleh mendirikan solat isyak berjemaah di masjid pada bulan Ramadan dan berhenti melakukannya selepas Ramadan berakhir. Apakah yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Mengapakan perubahan itu tidak konsisten?

Lazimnya, manusia suka memulakan perubahan apabila sesuatu peristiwa berlaku,

Contohnya,

“Saya akan mulakan qiamullail apabila masuk 10 malam terakhir”

“Saya akan mula membaca Al-quran apabila Ramadan tiba”

Percayalah, permikiran seperti ini tidak akan membawa sebarang perubahan kerana kita melakukan sesuatu disebabkan ransangan sekeliling semata-mata. Sebab bulan Ramadan, sebab lailatulqadar dan bukan dengan kefahaman kita mengenai hikmah Ramadan dan lailatul qadar itu sendiri.

Hakikatnya kita sebenarnya tidak betul-betul bersedia untuk menghadapi Ramadan atau merancang untuk memperkuatkan keimanan kita dengan perancangan yang rapi. Kita hanya ikut sahaja dan mengharapkan perubahan berlaku. Tetapi, malang seribu kali malang, perubahan itu tidak berlaku atau berlaku tetapi hanya sementara.

Oleh itu,pernahkah anda membayangkan untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai agen perubahan atau transformasi hidup anda? Jika mahu, saya kongsikan 6 tips ini supaya Ramadan yang bakal ditempuhi kali ini berjaya meningkatkan kualiti diri anda dan membawa perubahan yang positif.

#Tip 1- Buat Ramadan ‘Count Down’

Mengira detik tibanya Ramadan terutamanya di rumah atau di tempat  kerja akan membantu mewujudkan aura keterujaan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan taulan. Letakkan kalendar ‘count down’ Ramadan di tempat terbuka supaya kita sentiasa melihat dan memikirkannya.

Kegembiraan akan bertambah apabila kita sentiasa bercakap tentangnya bersama orang sekeliling. Di media sosial, kita juga boleh mengingatkan rakan-rakan di alam maya lain akan kehadiran Ramadan dengan mengemaskini detik masa yang akan dilalui untuk menyambut Ramadan.

#Tip 2- Perbaharui infomasi tentang Ramadan

Infomasi berkaitan Ramadan sangat penting kerana ia akan membantu kita membuat persiapan yang rapi sebelum bulan baraqah itu menjelma. Memahami hikmah di sebalik Ramadan akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk menghadapinya.

Contohnya, fahami kembali hikmah berpuasa, mengapa ibadah tarawih hanya wujud di bulan Ramadan. Lazimi diri kita untuk memahami perkara ini supaya bulan Ramadan itu berjaya dihayati dengan baik dan sempurna.

#Tip 3- Rancang Ramadan kita

Sesetengah orang akan mengisi Ramadan mereka dengan aktiviti umrah. Ada juga yang mengambil cuti bekerja selama sebulan semata-mata ingin memfokuskan pada ibadah. Itu pelan Ramadan mereka, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita menyusun strategi untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya.

Dengan hanya membuat pelan perancangan, barulah kita tahu sasaran yang ingin kita capai. Contohnya berapa kali qiamullail kita dalam seminggu, siapa yang akan dijemput untuk berbuka puasa dan sebagainya. Tulis semua perancangan anda dan fikirkan bagaimana untuk menjayakannya.

#Tip 4-Bersedia dengan sebarang kemungkinan

Sila lihat kembali bagaimana Ramadan yang bakal anda lalui. Adakah anda mempunyai peperiksaan dalam bulan Ramadan atau anda ingin mendaftar mana-mana kolej untuk menyambung pengajian. Lihat jadual anda. Pastikan ibadah anda di bulan puasa tidak terganggu oleh apa-apa aktiviti yang berlaku sepanjang Ramadan.

Contohnya, di akhir Ramadan pasti umat Islam akan sibuk dengan persiapan hari raya. Oleh itu, ada baiknya kita membuat persiapan raya sebelum Ramadan. Sangat rugi untuk kita  meninggalkan ibadah  semata-mata memfokuskan pada persiapan raya terutamanya di akhir- akhir Ramadan yang didalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan.

#Tip 5 -Aktifkan persediaan rohani

Kita semua maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan berpuasa, bulan mujahadah, bulan membaca Al-quran dan sebagainya. Lantaran itu, bagaimanakah persediaan rohani kita untuk menghadapinya. Sudahkah kita melazimi diri kita dengan puasa-puasa sunat, menambahkan bacaan Al-quran atau bersedeqah?

Sebelum Ramdan ,Nabi Muhammad SAW dan para sahabat memperbanyakkan puasa dibulan Rejab dan Syaaban.  Ibadah ini dibuat supaya mereka lebih bersedia menghadapi Ramadan.

#Tip 6– Ucapkan selamat tinggal untuk tabiat buruk

Kenal pasti apa tabiat buruk anda? Tidur lepas subuh, Ketagih media sosial atau ketagih merokok. Sebelum tiba bulan Ramadan buat perubahan secara beransur-ansur. Jika rasa mengantuk selepas subuh, pergilah bersenam. Jika terasa sangat lalai dengan media sosial, cuba belajar menahan diri daripada membukanya.

Alihlah perhatian dengan membaca buku atau berbual santai dengan teman-teman. Banyakkan bacaan buku-buku berfaedah yang memotivasikan kita untuk kekal bersemangat menempuhi Ramadan.

Kesimpulan

Khulasahnya, bulan Ramadan hanya hadir setahun sekali dalam hidup kita. Di dalamnya terdapat rahmat Allah, keampunan-Nya dan pembebasan daripada api neraka jika kita benar-benar besungguh menghayatinya. Oleh itu, rebutlah peluang ini dengan membuat persiapan rohani, fizikal dan mental dengan sebaiknya agar peluang yang ada berjaya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu” [Muttafaqun Alayh]

Semoga bulan Ramadan yang bakal dilalui tidak lama lagi akan memberi impak positif untuk kehidupan dunia dan akhirat kita. InsyaAllah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *