Ramadhan: Bersediakah Kita?

puasa

Ramadhan bakal bertandang tidak berapa lama sahaja lagi membawa seribu satu makna dalam kehidupan seorang muslim. Sehingga disebut akan datang kepada kita satu bulan yang dibukakan segala pintu syurga dan ditutupkan segala pintu neraka. Adakah kita mahu mengulangi lagi nostalgia lampau menyambut bulan mulia ini secara sederhana dan biasa-biasa sahaja seperti tahun-tahun yang lepas?

Justeru ayuhlah kita ubah persepsi, perbaiki diri, menuju ke arah ilahi dalam usaha untuk mendapat redha Yang Maha Tinggi.

Allah S.W.T berfirman dengan ayat yang masyhur berkenaan Ramadhan:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Lalu apakah signifikan ayat di atas yang saban tahun kita dengar namun masih juga belum betul-betul memahami intipatinya? Adakah kehidupan kita ini ingin dibiarkan berterusan dan berlarutan tanpa ada sebarang pembaikan, islah dan penyucian?

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang sinonim dikenali sebagai bulan pesta ibadah. Ramai dalam kalangan kita menganggap bahawa inilah masanya mengumpul pahala sebanyaknya kerana ganjaran yang dikurniakan Allah amat banyak sehinggakan tidur juga diganjarkan pahala.

Dalam ayat 183 itu, Allah menyebut pada permulaannya iaitu ‘wahai orang-orang yang beriman…’, menunjukkan kepada kita bahawa hanya orang yang beriman sahaja mampu melaksanakan ibadah puasa ini. Bukan kepada orang kafir dan selainnya. Hal ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada sesiapa sahaja yang mentauhidkan Allah bahawa ibadah puasa adalah satu kemuliaan yang dianugerahkan kepada hambaNya. Ibadah ini merupakan suatu perkara yang susah dan orang  yang beriman sahaja boleh menunaikannya. Tidakkah kita berasa bangga dengan kemuliaan ibadah ini yang mengiktiraf kita sebagai orang yang beriman?

Seterusnya Allah menyambung dengan ayat ‘…diwajibkan ke atas kamu berpuasa…’ menyatakan bahawa kita sedang melaksanakan salah satu dari tuntutan rukun Islam itu sendiri. Kemudian disambung dengan ayat ‘…sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu…’.

Menurut Tafsir Imam At-Tabari sesungguhnya orang-orang setelah Nabi Ibrahim AS diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim AS. Hal ini kerana Allah SWT telah menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai pemimpin manusia dan agama yang dibawa baginda adalah agama yang lurus lagi selamat. Nabi Ibrahim AS berpuasa, maka Rasulullah SAW diperintahkan untuk mengikutinya seperti yang diperintahkan kepada para Nabi sebelum Rasulullah SAW.

Lalu Allah mengakhiri ayat tersebut dengan natijah yang bakal diperoleh kepada sesiapa yang menjalankan ibadah puasa ini iaitu ‘…agar kamu bertaqwa’. Allah dengan jelas menyebut bahawa taqwa merupakan hasil ibadah yang dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh seseorang muslim. Beberapa ciri taqwa perlu kita ketahui iaitu ia akan menyebabkan kita takut kepada Tuhan yang mulia. Seterusnya, manusia yang bertaqwa akan lebih tunduk kepada Al-Quran dengan menepati segala garis panduannya serta lebih telus dan bersungguh mengikuti sunnah Rasulullah SAW dengan mencontohi keperibadian baginda dalam pelabagai aspek.

Menerusi ayat ini sahaja, seseorang muslim itu sudah lengkap 3 ciri utama iaitu daripada segi iman (wahai orang beriman), Islam (ibadah puasa sebagai rukun Islam) dan Ihsan (taqwa sebagai hasil).

Ramadhan membawa pelbagai impak dalam kehidupan. Bulan ini digambarkan sebagai bulan yang melaparkan orang kaya untuk turut sama merasai kelaparan orang miskin. Lalu terhasillah usaha untuk membantu dalam kalangan manusia. Manusia juga akan lebih peka akan masa terutamanya waktu solat dan berbuka. Badan juga akan mendapat hasil yang baik apabila kesihatan terjaga dengan kurangnya pengambilan makanan yang berbahaya.

Marilah kita bersama merenung apakah masalahnya sehingga kita tidak boleh mengamalkan segala amalan mulia dalam bulan Ramadhan seperti bacaan al-Quran yang banyak tetapi apabila berakhirnya Ramadhan, baca sehelai muka pun susah. Sedekah yang banyak di bulan Ramadhan namun apabila berakhirnya Ramadhan, langsung tidak memberikan apa-apa sedekah jariah. Solat yang mampu didirikan banyak rakaat namun apabila berakhirnya Ramadhan, solat sunat 2 rakaat sunat menjadi sangat terbeban untuk dilakukan.

Semoga peringatan ringkas ini mampu memberikan kita ruang untuk bermuhasabah dan menjadikan Ramadhan kita pada kali ini adalah yang terbaik dan akan bertambah baik pada masa akan datang jika diizinkan Tuhan. Wallau’alam.

Muhammad Afnan bin Tumiran
Pengerusi KRIM Kuala Pilah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *