Remaja dan Ikhtilat

remaja

Remaja, sesiapa yang dewasa pastinya merasai alam remaja, sesiapa yang tua pasti juga pernah menempuhi alam remaja dimana ia adalah putaran peringkat perkembangan manusia.  Remaja sinonim dengan keadaan dimana kita ingin mencuba perkara baru, dan mengalami pelbagai perubahan dari segi jasmani, sosial, dan emosi. Dalam usia remaja inilah mereka lebih mudah bergaul dengan rakan sebaya daripada ibubapa.

Jika silap percaturan memilih rakan, banyak padahnya. Alam remaja inilah keadaan dimana sifat berkasih mereka tinggi dengan berlainan jantina. Kadang ikhtilat tidak dijaga kerana sifat ingin meluahkan kasih pada yang tidak sepatutnya ini. Apa makna ikhtilat? Ikhtilat bererti percampuran wanita dengan lelaki.

Hukum asal ikhtilat adalah haram tetapi menjadi harus andai berlaku beberapa situasi seperti dhorurat (terpaksa), hajat (keperluan) dan untuk dakwah.

Macam mana nak jaga Ikhtilat sedangkan dalam kelas bercampur lelaki dan perempuan? Banyak caranya. Pertamanya, digalakkan pelajar lelaki duduk dibarisan hadapan dan perempuan dibelakang. Elakkan duduk terlalu rapat.

Keduanya, jika perlukan perbincangan dalam kumpulan, jangan bergurau berlebihan, cakap perkara yang penting, menutup aurat dan semestinya tidak berduaan lelaki dan perempuan, mestilah ditemani kawan-kawan yang dipercayai dan berada ditempat yang ramai orang.

Ketiga, perlulah menjaga pandangan didalam kelas, pandangan yang berlebihan adalah ditegah dalam islam. Nah!,banyak cara untuk mengelak percampuran tanpa sebab.

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman supaya menahan penglihatan dan menjaga kehormatan…dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan penglihatan dan menjaga kehormatan”

 (Surah An-Nur : 30-31)

Ikhtilat amat penting untuk dijaga kerana kesannya yang sangat dasyat untuk ummah. Bagaimana boleh berlakunya penzinaan jika tidak bermulanya perkenalan lelaki dan perempuan. Bagaimana boleh lahirnya anak tidak sah taraf jika bukan hasil dari zina. Permasalahan ini saling berkait. Kerana itulah, ikhtilat sangat perlu ditekankan dan perlu diambil berat.

Islam tidak melarang percampuran antara lelaki dan perempuan, tetapi ia perlulah disertai dengan adab dan panduan bersandarkan Al-Quran dan As-sunnah. Kerana itu setiap remaja perlu bangkit dengan sifat saling mengingatkan para remaja lain untuk bersama-sama menyertai aktiviti keagamaan supaya hati mereka sentiasa berada dalam niat yang satu, iaitu mencapai keredhaan Allah. Aspek ini penting untuk membina ummah yang beragenda dan mempunyai pandangan yang luas dan visi yang utuh. Membentuk daie perlulah diterapkan dari alam remaja kerana sifat ingin tahu mereka tinggi. Bukankah ada pepatah menyatakan, “Untuk melihat pemimpin akan datang lihatlah remaja masa kini”.

Wallahua’lam.

Khairunisa Samian

Aktivis ISMA Batu Pahat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *