REMAJA DISANGKA HILANG

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh ‘Public Health Malaysia’ dalam tempoh hanya 8 tahun (2011-2019) terdapat seramai 15, 042 orang remaja telah dilaporkan hilang. Majoriti remaja yang ‘hilang’ ini didapati adalah merupakan kes-kes lari dari rumah. Daripada statistik tersebut, 14,679 remaja telah ditemui semula, 26 kes ditemui tetapi telah meninggal dunia dan 363 kes masih belum ditemui.

Angka ini sangat merisaukan kerana ini menunjukkan remaja masa kini bersikap berani di luar batasan, impulsif dan tidak berfikiran rasional di dalam tindak tanduk mereka. Apakah punca kepada permasalahan ini? Fasa umur remaja, yang boleh dikategorikan bermula usia 13 sehingga 17 tahun merupakan fasa yang mencabar dan sering dikaitkan dengan krisis identiti dan kecelaruan fikiran. Pada tahap ini, seorang remaja akan mula cenderung ke arah sesuatu yang menentukan siapa diri mereka. Mereka akan mula sensitif terhadap cara berpakaian, cara berkomunikasi, serta mula mempunyai kecenderungan seksual. Remaja yang dibiarkan tanpa panduan akan membuat keputusan yang salah dan mungkin merbahaya. Antara kes-kes juvana di Malaysia ialah penyalahgunaan dadah, keganasan dan jenayah seksual. Selain itu, mereka juga akan mudah terjebak dengan masalah psikiatri seperti kemurungan, tekanan perasaan, mencederakan diri sendiri atau orang lain atau cuba membunuh diri.

Terdapat beberapa punca remaja lari daripada rumah. Sebanyak 8,682 kes adalah berpunca daripada masalah keluarga seperti mencari kebebasan dari belenggu keluarga, berlakunya pergolakan dalaman keluarga, serta kurangnya perhatian dan kasih sayang. Institusi keluarga yang bergolak pastinya akan menggangu emosi para remaja. ‘Rumahku syurgaku’ yang sepatutnya memberikan ketenangan dan pusat didikan utama para remaja telah berubah menjadi tempat mereka diasak dengan masalah dan akhirnya akan menghidupkan emosi dan jiwa yang memberontak

Perceraian, tidak memberi nafkah, kecurangan, penderaan, gangguan seksual, dan banyak lagi masalah dalaman keluarga bukan sahaja merugikan keluarga tersebut, tetapi juga merugikan masyarakat. Seorang remaja yang berpotensi menyumbang kepada masyarakat akhirnya menjadi seorang yang gelap masa depannya dan lebih teruk lagi mungkin akan terjebak sebagai penjenayah.
.
Sebanyak 5,419 kes pula adalah berpunca daripada terpengaruh daripada ajakan rakan-rakan atau kekasih. Ketidak matangan remaja membuatkan mereka berfikir hidup bersama rakan-rakan atau kekasih lebih menggembirakan daripada hidup bersama keluarga yang dirasakan mengongkong. Oleh itu mereka berani untuk memilih lari dari rumah walaupun tiada jaminan dari segi keselamatan dan kewangan. Mereka hanya berpegang kepada janji-janji manis rakan-rakan atau kekasih mereka sahaja. Mereka kebiasaannya hanya akan sedar apabila ditimpa masalah, bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah. Kebanyakan dari mereka menyedari bahawa kehidupan di luar tidak seindah yang mereka bayangkan sebelum ini.

Selain itu, sebanyak 577 kes berpunca daripada merasa tidak minat untuk belajar dan lebih berminat untuk mencari pekerjaan. Masalah kewangan juga menjerat sesetengah remaja untuk mencari kerja sampingan dan ada sebahagiannya terpaksa menamatkan sesi persekolahan. Selain itu terdapat juga faktor rakan sebaya yang sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki handphone serta beberapa gajet yang canggih, yang akhirnya memaksa sebahagian remaja mencari duit poket sendiri untuk membeli kelengkapan yang setanding dengan rakan mereka. Remaja yang tidak berasal dari keluarga yang kaya misalnya mungkin terpaksa mengambil keputusan lari dari rumah untuk bekerja demi memenuhi hasrat hati mereka. Jika diketahui ahli keluarga, sudah tentu hasrat mereka akan mendapat bangkangan.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil sebagai cara untuk membendung remaja daripada terlibat dengan kes lari dari rumah. Pertamanya ialah menekankan pendidikan agama dan sahsiah di dalam diri anak-anak. Ini adalah benteng paling kukuh supaya anak-anak boleh menghadapi cabaran dengan jiwa yang tenang serta mampu menangkis godaan yang negatif. Kecemerlangan akademik sahaja tidak mampu menjamin seorang remaja akan bebas dari terlibat dengan gejala negatif. Pendidikan agama dan sahsiah yang ampuh mampu membentuk pelajar yang mempunyai jati diri dan matang dalam membuat keputusan.

Keduanya ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Ibu bapa yang baik pastinya yang memenuhi keperluan anak-anak mereka dari segi rohani mahupun jasmani. Mereka haruslah memastikan rumah adalah titik nukleus (pusat) bagi anak-anak kerana rumahlah tempat utama mereka mendapat kasih sayang bahkan mengadu segala masalah. Ibu bapa juga seharusnya mempunyai ilmu asas pendidikan emosi dan psikologi bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul di peringkat umur remaja. Ibu bapa yang prihatin akan berusaha untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga dan mengelakkan konflik berterusan agar anak-anak merasa tenang dan selamat. Luangkan masa di hujung minggu dengan bersukan atau melakukan aktiviti bersama yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Langkah ketiga ialah memantau pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Remaja lazimnya akan berpersepsi bahawa rakan sebaya adalah tempat untuk menyempurnakan keperluan sosial mereka. Oleh itu, pengaruh yang diberikan adalah amat besar. Tindakan salah memilih kawan akan menyebabkan remaja terjebak dengan gejala yang tidak bermoral. Oleh itu, ahli keluarga perlu mengambil tahu dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan ke mana mereka pergi. Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak masing-masing di media sosial. Kawal penggunaan telefon bimbit dan masa mereka di atas talian (online). Selian juga perlu dalam bentuk ‘spot check’ telefon bimbit dan laman sesawang yang anak-anak layari. Sentiasalah berhubung dengan guru sekolah untuk mengetahui kegiatan dan aktiviti anak masing-masing. 

Anggota masyarakat seperti kelab-kelab atau badan bukan kerajaan juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan program pembinaan jati diri, kounseling, motivasi serta aktivit-aktiviti luar yang menarik. Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM) contohnya, adalah merupakan salah satu platform untuk remaja mendapat manfaat yang besar. Banyak pakej yang disediakan, seperti pakej sosial untuk mewujudkan suasana positif dan pergaulan yang baik sesama remaja, pakej ilmu untuk meningkatkan kemampuan intelek serta menimba ilmu agama, pakej pembinaan jati diri dan pakej riadah. Yang menariknya, semua program dirangka supaya tidak membosankan dan selari dengan kehendak remaja masa kini.

Secara kesimpulannya, pendidikan remaja hari ini adalah tanggungjawab yang dikongsi bersama. Ibu bapa pastinya merupakan watak utama untuk membentuk keluarga yang bahagia. Jadikanlah usaha untuk mendidik dan menyediakan keperluan anak-anak adalah satu usaha untuk memenuhi syariat Allah. Masyarakat juga haruslah memainkan peranan sebagai pendidik dan menganggap remaja sebagai aset negara yang berharga kerana mereka adalah pemimpin di masa hadapan. Semoga remaja yang dibentuk dengan baik hari ini dapat menjadi pemimpin masa hadapan yang berwibawa, ikhlas dan dihormati kelak.

Siti Fatimah bte Harun
Setiausaha Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM) Johor Bahru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *